Kon Yeow puji pelbagai pihak jayakan Program Eco School Vocational Training peringkat sekolah

Admin
CHOW Kon Yeow (depan, dua dari kiri) diiringi Aye Choy (depan, kanan) menyantuni salah seorang pelajar SMK Valdor di sini pada 22 Julai 2023.

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini memuji usaha pelbagai pihak dalam menjayakan Program Eco School Vocational Training di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Valdor dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

CHOW Kon Yeow

Kata Ahli Parlimen Batu Kawan berkenaan, usaha Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bersama-sama syarikat Flextronics Penang, Kelab Lions Bayan Baru, Politeknik Metto Tasek Gelugor dan SMK Valdor tersebut dalam menjayakan program latihan vokasional tersebut adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri hari ini untuk menyediakan modal insan terlatih di Pulau Pinang.

“Di Pulau Pinang, kita (Kerajaan Negeri) bangga untuk menyatakan bahawa inisiatif seumpama yang telah digerakkan ini sangat membantu pembangunan modal insan bernilai tinggi.

“Justeru, kita berharap model program ini dapat dijadikan contoh dan mampu menarik minat para pelajar untuk mendalami bidang teknikal serta vokasional, sekali gus membuka peluang kepada MBSP dan para pemain industri untuk meneruskan projek ini,” jelasnya semasa merasmikan program berkaitan di sini pada 22 Julai 2023.

Kon Yeow menyatakan bahawa selama sepenggal beliau menjadi Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi sejak tahun 2018 hingga 2023, pentadbirannya berusaha melaksanakan program bantuan pendidikan berkaitan bagi membantu anak-anak Pulau Pinang dalam sektor teknikal dan vokasional.

Bantuan yang dimaksudkan, menurut beliau, termasuk peruntukan sejumlah RM175,000 bagi menjayakan Penang Skill German Dual Vocational Training (TVET) melalui beberapa agensi negeri seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Kluster Sains Pulau Pinang (PSC) dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

Tambah Kon Yeow, pentadbirannya percaya bahawa kerjasama strategik serta kepakaran melalui kaedah perkongsian awam dan swasta (PPP) bukan sahaja akan meningkatkan kualiti pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), malah turut akan menyumbang kepada usaha merealisasikan Visi Penang2030 yang digariskan peringkat Kerajaan Negeri hari ini.

Buletin Mutiara difahamkan Program Eco School Vocational Training adalah sebahagian daripada kesinambungan kepada perjanjian persefahaman (MoU) antara MBSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan pentadbir bandar Maia dan Villa de Famalicao di negara Portugal sebelum ini.

MoU yang dimeterai itu adalah di bawah kelolaan International Urban and Regional Coorperation (IIRC) European Union pada tahun 2022 yang mana bagi berkongsi serta saling mempelajari amalan terbaik setiap bandar terutama berkaitan aktiviti eko komuniti.

Program Eco School Vocational Training tersebut, Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Baderul Amin Abdul Hamid memberitahu bahawa pihaknya berharap usaha saling bertukar pengalaman baik dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti sekolah hijau dapat diperluaskan lagi.

“Program ini juga adalah bagi mengenal pasti amalan terbaik dan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam pengurusan ekonomi sirkular, mencari penyelesaian berasaskan alam semula jadi, pengurusan sisa serta air, perancangan bandar, pemeliharaan warisan dan kawasan strategik lain yang dikenal pasti dari semasa ke semasa,” ulasnya.

Di samping itu, Baderul Amin memberitahu bahawa pada peringkat pertama Program Eco School Vocational Training dekat SMK Valdor tersebut akan melibatkan lima pelajar setiap tingkatan atau keseluruhannya 25 penuntut yang mana mereka dipilih untuk menjalani latihan vokasional dalam bidang membaiki komputer.

“Lions Club Bayan Baru akan membantu dalam usaha mengumpulkan komputer terpakai dan industri untuk tujuan latihan membaiki komputer, manakala Flextronis Penang Plan 5 di kawasan Perusahaan Perai pula menyediakan tenaga pengajar kepada para pelatih pada setiap Sabtu selama dua jam.

“Latihan ini dijangka tamat dalam dua bulan dan komputer-komputer yang telah dibaiki akan disumbangkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan,” ujarnya.

Pengurus Projek Pengumpulan Komputer Terpakai Kelab Lions Bayan Baru, Datuk Lee Teong Li dan Pengetua SMK Valdor, Aye Choy turut berucap dalam majlis tersebut. Hadir sama, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR