Kon Yeow puji SGM anjur acara larian rai Bulan Keamanan

BIKIT TAMBUN – Kira-kira 8,000 perserta menyertai Larian Untuk Keamanan anjuran Persatuan Soka Gakkai Malaysia (SGM) Pulau Pinang seawal 6.30 pagi tadi dari perkarangan parkir Stadium Batu Kawan di sini.

Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji inisiatif persatuan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kerana berjaya menganjurkan acara dwi-tahunan tersebut membabitkan 28 lokasi serentak di seluruh negara, dengan penyertaan kira-kira 115,000 peserta secara keseluruhan.

“Kerajaan Negeri menyokong usaha ke arah keamanan di dunia, malah, keamanan di negara kita, keamanan di negeri kita, keamanan kita dalam masyarakat serta komuniti kita, dan tidak kurang penting adalah keamanan dalam keluarga serta dalam diri kita,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam acara edisi kelima penganjuran berkenaan pada 8 September 2019.

Turut berucap, wakil penganjur, Lim Kim Khiam.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut memuji komitmen NGO tersebut kerana konsisten menganjurkan acara kesedaran sempena meraikan Bulan Keamanan iaitu pada bulan September tiap-tiap tahun.

Difahamkan, SGM ditubuhkan pada tahun 1984, antara lain untuk mempromosikan nilai-nilai kebudayaan, pendidikan dan budaya keamanan di tanah air ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD