BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap acara penanaman 281 batang pokok teduhan di sepanjang Jalan Cassia Barat 2 dan Persiaran Cassia Barat 3 sempena sambutan 50 tahun penubuhan agensi negeri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bakal menambah lagi kehijauan negeri ini.
“Sejak tahun 2016 hingga kini, PDC telah membelanjakan antara RM1 juta hingga RM2.5 juta setahun bagi pembangunan landskap termasuk landskap lembut di seluruh kawasan pembangunan PDC
“PDC yang senantiasa komited dalam memastikan keseimbangan pembangunan di negeri ini dapat dilaksanakan, seterusnya merealisasikan Visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara,” jelasnya dalam acara perasmian Program Penanaman Pokok PDC di sini pada 26 Ogos 2019.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Pengurus Besar PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar turut sertai majlis tersebut.
Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa jumlah pokok teduhan yang telah ditanam di seluruh Bandar Cassia dan Taman Sains Pulau Pinang sejak tahun 2006 hingga 2019 adalah sebanyak 12,564 batang pokok.
Difahamkan, pokok teduh yang ditanam pada pagi ini antaranya jenis Batai Laut (Pelthoporum pterocarpum), Fox’s Tail Palm (Woodytheia bifurca) dan Penaga Lilin (Messua ferrea).
Kerja-kerja penanaman pokok teduh dimulakan pada 25 Jun lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada 12 November ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS