Kon Yeow realistik Perpaduan menang 30 hingga 32 kerusi DUN

SUNGAI PINANG – Ketua Menteri ‘Caretaker’ Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow meletakkan sasaran realistik 30 hingga 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mampu dimenangi oleh gabungan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) ini.

 

 

Menurutnya, sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, beliau sedar akan cabaran yang besar itu dalam memenangkan Kerajaan Perpaduan PH – Barisan Nasional (BN) untuk mengalahkan Perikatan Nasional (PN).

 

 

“Saya mungkin tidak optimistik seperti rakan saya, Datuk Musa Sheikh Fadzir (Pengerusi BN Pulau Pinang) yang jangkakan kita akan menang besar, saya lebih kepada optimistik campur realistik, 30 – 32 kerusi perlu dimenangi oleh Perpaduan agar matlamat kita mewujudkan Kerajaan Negeri yang kukuh, stabil dan disokong rakyat dapat dicapai pada 12 Ogos ini.

 

 

“Saya mahu terus terang, walaupun kita letak sasaran 30 hingga 32 kerusi (menang), namun ketika ini kita hadapi cabaran amat besar yang memerlukan jentera kita, penyokong kita berkempen dengan lebih kuat yang mana ketika ini kita masih belum capai sasaran ditetapkan.

 

 

“Jadi dengan enam hari lagi, kita mahu mengorak langkah baru, mengatur strategi baru, mengaturkan sumber-sumber kita untuk fokus kepada kerusi-kerusi marginal yang perlu kita menang demi capai sasaran ditetapkan,” ujarnya dalam Ceramah Perpaduan Madani Pulau Pinang dekat Persiaran Karpal Singh di sini sebentar tadi.

 

Turut hadir dan berucap, Y.A.B. Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook; Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; calon DUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan kepimpinan PH dan BN peringkat negeri serta pusat.

 

 

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan turut menyeru rakyat negeri ini agar turun beramai-ramai pada 12 Ogos ini untuk menzahirkan kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan melalui peti undi sambil meneruskan kecemerlangan PH selama 15 tahun.

 

 

“Sekiranya yakin dengan kami (Kerajaan Perpaduan), trurun beramai-ramai pada 12 Ogos ini, tunjukkan kepercayaan ini, terjemahkan kepercayaan ini melalui undi dengan mengambil tindakan untuk undi PH  dan BN supaya kita dapat capai sasaran.

 

 

“Akhirnya saya mahu sentuh satu isu yang sudah diberi ketetapan jelas oleh Perdana Menteri dan Anthony (Siew Fook) berhubung dengan calon  Ketua Menteri.

 

 

“Saya, Chow Kon Yeow adalah bakal calon Ketua Menteri, saya rasa sememangnya cabaran amat besar menanti, saya menerima baik pengesahan ini dan  berikrar akan memimpin Perpaduan untuk mencapai kemenangan PRN ini,” tegasnya.

 

 

Kon Yeow mengakiri ucapan dengan melaungkan Kita Boleh! dan Perpaduan Boleh! sebanyak tiga kali dalam menaikkan semangat jentera parti untuk terus bekerja keras.