GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik pengumuman Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung saluran peruntukan RM40 juta bagi pembangunan projek-projek berkaitan menerusi kementeriannya sebentar tadi.
Kon Yeow yang menyifatkan dana tersebut sebagai sentuhan ‘kasih sayang’ kepada negeri ini yang mana dana sebanyak RM24 juta disalurkan bagi tujuan menaik taraf Pasar Awam Bukit Mertajam dan penyelenggaraan projek perumahan awam kos rendah (RM16 juta).
“Saya menyambut baik kelulusan khusus untuk pembangunan semula Pasar Awam Bukit Mertajam dan suntikan dana bagi tabung penyelenggaraan rumah-rumah pangsa awam di Pulau Pinang.
“Seperti mana saya kata, ini adalah sentuhan ‘kasih sayang’ dan permulaan baik kepada Kerajaan Negeri yang mana sebelum ini perkara-perkara berkaitan telah ditegaskan serta dikemukakan banyak kali oleh saya menerusi RMK (Rancangan Malaysia) dan Rolling Plan dengan senarai untuk dipertimbangkan… namun, ada yang diluluskan dan ada yang juga masih dalam pertimbangan.
“Kita (Kerajaan Negeri) berharap pengumuman saluran peruntukan ini merupakan satu permulaan yang baik, dan adalah diharapkan kementerian-kementerian lain juga dapat melihat apakah keperluan sebenarnya di Pulau Pinang kerana Kerajaan Negeri umumnya mempunyai visi untuk memajukan negeri ini ke tahap lebih tinggi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhan,” ujarnya tadi.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Majlis Perasmian Projek Menaik Taraf Lorong Belakang Yang Menghubungkan Lebuh Armenian ke Lebuh Ah Quee di sini.
Difahamkan, kerja-kerja menaik taraf lorong belakang sepanjang 135 meter berkaitan adalah melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM125,000 melalui peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Antara kerja-kerja yang terlibat adalah menaik taraf keadaan lorong belakang sedia ada, penaiktarafan perabot jalan, penyediaan sudut-sudut berswafoto, membina semula longkang, kerja-kerja landskap, pemasangan lampu, papan tanda, kerja-kerja utiliti serta skop-skop pengindahan berkaitan.
Hadir sama, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan barisan jemputan lain.
Kor Ming dalam sidang media sama memberitahu bahawa projek naik taraf Pasar Awam Bukit Mertajam bakal melibatkan parkir bertingkat, galeri warisan, naik taraf lorong belakang yang dijangka siap pada tahun 2026.
“Bagi naik taraf projek perumahan, peruntukan bagi Pulau Pinang meningkat kira-kira 70 peratus iaitu berjumlah RM16 juta berbanding sebelum ini, RM9 juta.
“Bagi projek perumahan, kita (KPKT) mahu kerja-kerja menyelenggara tangki air, tangga, bumbung, mengecat semula, pendawaian, membaiki cerun dilakasanakan, malah jangan lupa juga naik taraf tandas kepada taraf ‘BMW’ iaitu ‘Bersih, Menawan dan Wangi’,” tegasnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SIEW CHIA EN