GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini meluangkan masa turun padang bagi menyantuni golongan gelandangan dan kutu rayau yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara dekat Kompleks Masyarakat Penyayang, di sini sebentar tadi.
Kehadiran beliau ternyata memberikan kejutan kepada golongan berkenaan yang rata-ratanya dilihat menjalani kehidupan harian lebih selesa dan terurus sejak ditempatkan di sana pada 28 Mac lalu sebagai salah satu langkah membendung penularan wabak COVID-19.
Kon Yeow ketika ditemui melahirkan rasa syukur melihat golongan berkaitan yang sebelum ini sering berkeliaran di sekitar Komtar, kini mempunyai tempat berlindung yang lebih selesa buat sementara waktu.
“Senang hati saya melihat mereka dijaga dengan baik, diberikan makan tiga kali sehari, pandai menjaga kebersihan diri dan perubahan tingkah laku yang ketara.
“Saya percaya dengan apa yang dilihat, mereka gembira berada di sini, tetapi ini hanyalah langkah sementara… diharap mereka akan mencari tempat lebih bersesuaian iaitu pulang ke rumah ataupun mencari pusat perlindungan tetap selepas ini.
“Terima kasih kepada beberapa jabatan berkaitan dan pihak badan bukan kerajaan (NGO), Buddhist Tzu Chi Merits Society Malaysia (Tzu Chi) di atas usaha keras mereka bagi memastikan tempat ini diuruskan dengan baik serta efisien,” ujarnya sejurus menyantuni dan mengedarkan kit kebersihan diri sumbangan Quinton kepada kira-kira 39 gelandangan yang ditempatkan di sini sebentar tadi.
Sebanyak 66 katil boleh laras disediakan di tempat perlindungan sementara berkenaan.
Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Teh Lai Heng (Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri); Khoo Boo Leong (Pesuruhjaya Tzu Chi) dan wakil-wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mengulas lanjut mengenai pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Tiga yang akan bermula pada 15 sehingga 28 April ini, Kon Yeow dalam responsnya menyeru semua pihak agar terus berjuang mengatasi cabaran ini.
“Kita perlukan galakkan terutamanya kepada petugas barisan hadapan, sukarelawan malah semua orang untuk terus berjuang melawan wabak ini dan mengatasinya dalam masa yang lebih singkat,” seru beliau.
Dalam pada itu, Boo Leong memberitahu bahawa rata-rata gelandangan yang ditempatkan di sini menunjukkan perubahan sikap yang positif sama ada daripada isu kebersihan serta sikap toleransi.
“Mereka boleh basuh baju sendiri, yang muda bantu yang lebih tua, boleh menguruskan dewan ini dengan menyapu, membuang sampah dan sebagainya, ini adalah perubahan tingkah laku positif,” jelasnya.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG
Video : CHAN KOK KUAN