Kon Yeow senada Jagdeep, minta Pusat kaji semula hasrat tidak lagi bina PPR

Admin
KETUA Menteri.

 

GEORGE TOWN – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dimohon mempertimbang semula hasrat untuk tidak lagi membina Program Perumahan Rakyat (PPR) iaitu skim sewa kediaman untuk golongan terpilih yang berpendapatan isi rumah 40 peratus paling rendah (B40) di tanah air ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, bukan semua B40 mampu membeli unit PPR yang bakal dijenamakan semula sebagai Program Perumahan Malaysia, jika ditawarkan pada harga antara RM90,000 hingga RM300,000.

“Sebelum ini, kalau PPR disewa kepada golongan B40 dengan kadar RM100 dan RM24 yuran penyelenggaraan tiap-tiap bulan.

“Walaupun (pada jumlah keseluruhan RM124 sebulan), ia hanya untuk sewa sahaja.

“Harga jualan antara RM90,000 hingga RM300,000 selepas penjenamaan semula ini akan menyebabkan bekalan unit-unit rumah PPR tak dilaksanakan lagi, sebab ada program yang baru (iaitu Program Perumahan Malaysia).

“RM90,000 harga rumah di bawah Program Perumahan Malaysia ini pun lebih tinggi berbanding harga rumah Kos Sederhana Rendah (KSR) di Pulau Pinang (pada harga RM72,500 seunit).

“Kalau golongan B40 yang selama ini tidak mampu membeli unit-unit rumah Kos Sederhana Rendah (KSR), cuma mengharapkan sewa PPR atau membeli rumah Kos Rendah (KR, RM42,000 seunit), bagaimana mereka boleh membeli unit kediaman di bawah Program Perumahan Malaysia kelak,” jelasnya dalam sidang media di Komtar pada 6 September 2019.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan berasingan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo pada pagi tadi, yang melahirkan rasa terkejut dengan pengumuman menteri serta meminta Kerajaan Persekutuan mengkaji semula hasrat untuk tidak meneruskan projek PPR di seluruh negara.

Kon Yeow bagaimanapun berkata bahawa Kerajaan Negeri akan tetap melaksanakan projek pembinaan KSR walaupun kelak Kerajaan Pusat tetap meneruskan hasrat untuk tidak lagi membekalkan PPR di negeri ini.

“KSR, Kerajaan Negeri tetap akan meneruskan dasar sedemikian, tetapi, PPR yang menjadi tanggungjawab Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui suatu pengumuman (Zuraida) mengenai penjenamaan baharu, maka PPR tidak lagi dibina.

“Ini, yang kita rasa mengapa YB Jagdeep kata kita (Pulau Pinang) tidak boleh terima (hasrat KPKT), dan saya pun rasa begitu lah.

“Saya menyeru supaya perkara ini (hasrat tidak lagi membina PPR) dikaji semula,” serunya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI