Kon Yeow tulis surat kepada PM, minta biayai LRT di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pada 29 Jun lepas, pihaknya telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon supaya Kerajaan Persekutuan membiayai kos pemajuan transit aliran ringan (LRT) di negeri ini.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi berkata demikian dalam sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-14 pada pagi 10 Ogos 2018.

Sebelum itu, Kon Yeow dalam sesi soal jawab lisan di sini turut memberitahu sehingga kini, cadangan penambakan laut masih lagi menjadi model pembiayaan bagi Pelan Induk Pengangkutan (TMP) termasuk LRT serta pintasan lebuh raya Penang Island Link 1 (PIL1).

Menurutnya, hasil penambakan itu juga akan digunakan untuk membiayai kos operasi dan penyelenggaraan LRT dan PIL1 pada masa depan kelak.

“Sekiranya PSR (penambakan laut di Selatan Pulau) tidak dilaksanakan, maka, Kerajaan Negeri perlu mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai projek LRT dan PIL(1),” jelas Kon Yeow.

Beliau menyatakan bahawa pelaksanaan PSR sekaligus menyelesaikan masalah di peringkat perbandaran yang lain seperti kekurangan tanah, kesesakan trafik dan penghijrahan keluar tenaga pakar.

“Projek (TMP dan PSR) ini juga merupakan salah satu langkah penyelesaian dalam memastikan kelestarian pembangunan ekonomi di Pulau Pinang pada masa hadapan,” ujarnya.

Kon Yeow dalam pada memberi penjelasan itu sebagai menjawab soalan yang dibangkitkan oleh ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon.

Dalam perkembangan berkaitan, ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim semalam mencadangkan Kerajaan Negeri menubuhkan bank pembangunan sendiri, iaitu “Penang Own State Bank” sebagai model sokongan kewangan alternatif bagi melaksanakan TMP.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ALISSALA THIAN