Kon Yeow tuntut jentera kerja lebih keras menangkan Dr. Joohari

Admin
c1da1d02 ee53 4364 88d7 281b93ae92d4

SUNGAI BAKAP – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menuntut semua jentera Kerajaan Perpaduan untuk terus bekerja keras menjelang Pilhan Raya Kecil (PRK) N20 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang kini berbaki lima hari lagi.

Menurut beliau, pemerhatian kini menunjukkan bahawa kedudukan masih lagi seimbang 50 – 50, namun tetap optimis bahawa Kerajaan Perpaduan menerusi Pakatan Harapan (PH) mampu melakukan lebih baik sekiranya jentera pilihan raya terus bekerja keras sebelum tibanya hari mengundi.

“Pandangan saya masih berpegang kepada 50 – 50, mungkin 48 (peratus) kita (Perpaduan) dan 52 (peratus) mereka (Perikatan Nasional), peratusan ini boleh dijadikan sebagai motivasi kepada kita agar jangan terlalu selesa, kemenangan belum di atas tangan kita.

“Tetapi, perjuangan perlu diteruskan sehingga kita membuktikan kolaborasi Perpaduan ini mendapat sokongan daripada rakyat jelata, iaitu melihat Perpaduan sebagai satu jalan yang terus membawa kepada masa depan yang lebih baik untuk negara Malaysia.

“Jadi, saya menyeru kepada barisan pimpinan membabitkan kawasan-kawasan mengundi di Sungai Bakap untuk memastikan penyokong-penyokong serta keahlian kita supaya semua keluar mengundi,” serunya pada sidang media bersempena Program Ziarah Madani dekat Kampung Padang Lalang di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi merangkap ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Pengerusi UMNO Cawangan Kampung Padang Lalang, Suhaimi Man.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa jentera Perpaduan kini giat berkempen untuk melawan kempen-kempen negatif yang memujuk kaum Cina untuk tidak keluar mengundi dengan alasan undi Sungai Bakap tidak memberi sebarang erti.

“Sebenarnya, kita perlukan semua undi, untuk capai kemenangan, semua undi adalah penting, jadi kita sasarkan mesej untuk keluar mengundi yang mana memperlihatkan peluang untuk menang.

“Mengenai penerimaan masyarakat Cina, saya rasa calon kita, (Dr. Joohari Ariffin) diterima, beliau mudah didekati, selalu senyum, pandai membawa diri, seorang yang peramah, latar belakang pendidikan yang baik dan lain-lain berkaitan,” ulasnya lanjut.

Kon Yeow dalam pada itu juga berjanji untuk bersama-sama Joohari membantu menyelesaikan isu-isu yang terdapat di sini sekiranya calon berkaitan dipilih sebagai ADUN pada 6 Julai ini.

“Itu jaminan kita, dan saya ada cadangkan untuk mewujudkan Forum Sungai Bakap yang mana kita boleh bawa semua pertubuhan di Sungai Bakap ke sebuah platform untuk membangkitkan isu-isu setempat.

“Dari situ, wakil rakyat, jentera daerah, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) atau saya sendiri boleh hadir sebagaimana yang dilaksanakan oleh saya sebelum ini,” ujarnya.