Kon Yeow turun ke Sungai Acheh lagi, seru rakyat undi calon BN

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan), Haji Rashidi Zinol (tiga dari kanan), Sim Tze Tzin (kanan sekali) dan Gooi Hsiao Leung (empat dari kanan) merakamkan gambar bersama sebelum memulakan sesi ucapan dalam majlis berkaitan di sini pada 7 Ogos 2023.

SUNGAI ACHEH – Untuk menubuhkan sebuah Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang yang lebih stabil dengan majoriti dua pertiga pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, kesemua enam calon Barisan Nasional (BN) mesti menang bersama-sama 34 calon Pakatan Harapan (PH) yang lain.

Sehubungan itu, Pengerusi PH negeri, Tuan Chow Kon Yeow berkata semua keahlian parti pemerintah serta penyokong tradisi termasuk pengundi bukan Melayu pun mesti memberi undi kepada calon BN bagi N.21 Sungai Acheh, Rashidi Zinol.

CHOW Kon Yeow

Kon Yeow yang juga calon PH N. 26 Padang Kota berkata demikian semasa berucap dalam Program Jelajah Pemimpin Bersama-sama Komuniti Taman Sempadan dekat Lorong Kedidi di sini pada 7 Ogos 2023.

“Untuk memastikan Chow Kon Yeow diberi mandat untuk ‘Terus Memimpin Pulau Pinang’ pasukan Perpaduan (Kerajaan Negeri), saya perlu menang di DUN Padang Kota; Goh Choon Aik perlu menang di (N . 18) Bukit Tambun.

“Jadi, setiap undi untuk calon Sungai Acheh, Tuan Haji Rashidi Zinol membawa makna undi itu adalah untuk Chow Kon Yeow menjadi Ketua Menteri,” jelasnya sambil memberitahu Kerajaan Negeri yang stabil adalah penting untuk menjana keyakinan pelabur sekali gus mewujudkan peluang kerjaya berkualiti di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata pihaknya yakin segenap lapisan jentera Perpaduan yang terdiri daripada keahlian PH-BN mesti memanfaatkan baki empat hari terakhir sebelum Hari Pengundian pada 12 Ogos 2023.

Selain Choon Aik, turut berucap, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Terdahulu, Kon Yeow pada 3 Ogos lepas menganjurkan jerayawara di Sungai Acheh bagi membantu kempen Rashidi, khususnya dalam kalangan masyarakat bukan Melayu di sini.

Bercakap kepada pemberita semasa itu, beliau memberitahu bahawa atas semangat Kerajaan Perpaduan Malaysia beliau menyeru seluruh keahlian PH dan BN untuk saling mengundi calon Perpaduan sempena PRN ini.