Kongres platform kukuh hubungan

Admin
V. Enrique Quesada B (dua dari kiri) menyampaikan plak cenderahati kepada Ketua Menteri sambil diperhatikan Marco G. Battistotti (kiri sekali) dan Gerald S.A. Perez (kanan sekali) pada 41st International Association of the Travel and Tourism Professionals (SKAL) Asia Congress di sini baru-baru ini.
V. Enrique Quesada B (dua dari kiri) menyampaikan plak cenderahati kepada
Ketua Menteri sambil diperhatikan Marco G. Battistotti (kiri sekali) dan Gerald
S.A. Perez (kanan sekali) pada 41st International Association of the Travel and
Tourism Professionals (SKAL) Asia Congress di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWNPenganjuran Kongres International Association of the Travel and Tourism Professionals (SKAL) Asia Ke-41 (41st International Association of the Travel and Tourism Professionals (SKAL) Asia Congress) di sini baru-baru ini menyediakan platform terbaik kepada semua ahli kelab dan para peserta untuk mengukuhkan hubungan di antara satu sama lain.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir menyerikan acara berkata, penganjuran tersebut pada masa sama mampu menawarkan peluang perniagaan lebih besar di antara satu sama lain agar suatu hari nanti SKAL mampu meraih kedudukan lebih tinggi di Asia.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menyatakan bahawa George Town telah diiktiraf Employment Conditions Abroad (ECA) International sebagai bandaraya yang paling sesuai didiami di Malaysia.

“ECA telah mengiktiraf George Town sebagai bandar paling sesuai didiami di Malaysia dengan kedudukan tangga ke lapan di Asia dan 73 di peringkat global. Pencapaian tersebut adalah julung kali dicapai pada 2011 dengan Pulau Pinang mendahului Kuala Lumpur,” ujarnya pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau menambah bahawa Pulau Pinang juga merupakan sebuah negeri yang berteraskan pembuatan dan lokasi pelaburan.

“Pulau Pinang berada di tangga pertama pada 2010 dan 2011 pada aspek pelaburan. Kita (Pulau Pinang) juga sedang berusaha untuk mencapai taraf sebuah bandaraya antarabangsa berteraskan kecekapan, akauntabiliti, kejelasan, kualiti, kebolehpercayaan, keselamatan, kemampanan dan integriti,” jelas beliau.

Hadir sama, Presiden SKAL Antarabangsa, V. Enrique Quesada B, Presiden SKAL Antarabangsa (Penang), Marco G. Battistotti dan Presiden SKAL Asia, Gerald S.A. Perez.