Kontinjen Para Sukma Pulau Pinang sasar 16 pingat emas

Admin
dsc00886

GEORGE TOWN – Kontinjen Pulau Pinang menyasarkan untuk mengutip sebanyak 16 pingat emas, 12 perak dan 17 gangsa dalam temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) Ke-21 di Sarawak.

Para Sukma dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 29 September 2024, sebulan selepas Sukan Sukma menutup tirainya pada 24 Ogos lalu.

Mozakir
Mozakir Buyong Mokhtar.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang (JBSNPP), Mozakir Buyong Mokhtar berkata sasaran sebanyak 45 pingat adalah realistik berdasarkan prestasi semasa.

“Seramai 83 atlet negeri akan bertanding dalam Para Sukma yang akan diadakan di Kuching, Sarawak.

“Secara keseluruhan, kontinjen Pulau Pinang akan menghantar 132 individu terdiri daripada 83 atlet dan 49 pegawai.

“Atlet para kita juga telah memulakan latihan sejak awal tahun ini, dan sekarang mereka dalam fasa latihan intensif untuk menyertai Para Sukma,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mozakir, kontinjen Pulau Pinang akan menyertai kesemua 10 sukan Para Sukma iaitu olahraga, badminton, renang, pingpong, tenpin boling, boccia, boling padang, angkat berat, memanah dan catur.

Mozakir turut mengumumkan bahawa kontinjen para Pulau Pinang akan diketuai oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi Zi Sen sebagai Ketua Kontinjen (CDM) Negeri Pulau Pinang dan beliau sendiri sebagai timbalan (DCDM).

Oleh : SUNARTI YUSOFF