GEORGE TOWN – Kontinjen negeri Pulau Pinang diseru untuk mendapatkan lebih 50 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor pada tahun 2026.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) komited untuk memastikan sasaran tersebut mampu dicapai.
“Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow telah mencabar kontinjen negeri untuk menukar 50 peratus daripada pingat perak yang dimenangi pada Sukma di Sarawak pada tahun ini kepada pingat emas pada edisi seterusnya.
“Marilah kita bekerjasama untuk mencapai sasaran dalam masa dua tahun berbaki sebelum Sukma di Selangor berlangsung,” katanya ketika sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini semalam.
Dalam acara Sukma di Sarawak baru-baru ini, Kontinjen Pulau Pinang berjaya merangkul 41 pingat emas, 45 perak dan 53 gangsa.
Zi Sen juga berharap agar Kontinjen Pulau Pinang dapat menunjukkan prestasi yang lebih memberangsangkan pada Sukma 2026.
Menyentuh mengenai isu lain, Zi Sen berkata sukan pickball kini semakin popular dalam kalangan rakyat negeri ini.
Walau bagaimanapun, beliau berkata Kerajaan Negeri ketika ini tiada sebarang perancangan untuk membina gelanggang khas bagi sukan tersebut.
“Namun begitu, Kerajaan Negeri akan mengutamakan membina dewan serbaguna yang boleh menempatkan pelbagai jenis sukan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Berkenaan isu kesihatan, Zi Sen berkata sebuah Jawatankuasa Kesihatan Mental telah ditubuhkan untuk menangani peningkatan kes bunuh diri dan masalah kemurungan.
“Jawatankuasa ini diketuai oleh saya dan juga disokong oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang serta pemegang taruh yang lain, bertujuan untuk membawa isu ini ke hadapan.
“Kerajaan Negeri juga menasihati orang ramai yang mengalami masalah kemurungan untuk mendapatkan bantuan perubatan dengan kadar segera,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS