Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
ALOR SETAR – Konvensyen Pakatan Rakyat Peringkat Kebangsaan 2012 pada 14 Januari lepas di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah nampaknya terus melonjak semangat rakyat yang lebih jitu untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat di Putrajaya.
Disebabkan itu, mereka, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) serta pemimpin utama yang lain bersetuju menjadikan moto “Bersihkan Malaysia” sebagai agenda utama rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang diramalkan paling awal pada Mac ini.
Kira-kira 1,500 perwakilan hadir pada konvensyen penting tersebut. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak selaku ‘tuan rumah’ turut hadir dalam konvensyen itu.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar selaku pengerusi jawatankuasa penganjur ketika menyampaikan ucapan aluan membayangkan konvensyen kali ini sebagai pecutan akhir sebelum pilihan raya umum.
Kata beliau, ketiga-tiga komponen parti oposisi tidak boleh memandang enteng pada parti-parti saingan kerana pemimpin utama Umno sendiri menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai “pilihan raya paling dasyat” dan “ibu segala pilihan raya”.
Nada yang sama turut disuarakan oleh Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim. Paling menarik pada konvensyen tersebut adalah Pakatan Rakyat mengetengahkan empat Tawaran Jingga :
- Pertama, Dasar Felda yang lebih menguntungkan peneroka, bukan kronikroni parti pemerintah.
- Kedua, Dasar Anti Monopoli dalam Bernas, Import Lesen (AP), perkhidmatan televisyen, lesen teksi dan sebagainya.
- Ketiga, Dasar Pengukuhan Federalisme dengan tidak lagi menafikan hak seluruh rakyat di bawah Kerajaan Negeri menerima hak yang lebih adil daripada kerajaan pusat. Contoh, hak rakyat Kelantan menerima royalti minyak. Contoh lain, hak Pulau Pinang menerima dana pembangunan dari pusat hasil kutipan cukai di negeri berkenaan.
- Keempat dan terakhir, Dasar Memperkasakan Perkhidmatan Awam dengan tidak lagi membebankan mereka dengan tugas-tugas tidak rasmi seperti memaksa mereka menyokong penyelewengan yang dilakukan oleh parti pemerintah.