Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Hampir 100 pengguna Facebook, Twitter dan blog diiktiraf sebagai ‘rakan perubahan’ dalam Konvensyen Media Sosial 2012 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Ketua Menterinya, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng ketika menyampaikan ucaptama, berharap penggiat media baru 2.0 akan membantu Kerajaan Negeri dalam menghadapi fitnah pihak pembangkang di negeri berkenaan.
“Kita tak nak (pengamal) media sosial menyebelahi Pakatan Rakyat secara sentimen semata-mata, tapi kita nak mereka bersama pihak yang benar.
“Dengan kebenaran bermaklumat sahaja boleh lawan fitnah (pembangkang) UMNO terhadap perubahan yang dibuat oleh (kerajaan) negeri (Pulau Pinang) ini,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Konvensyen Media Sosial di sini baru-baru ini. Bagi beliau, politik fitnah yang dilakukan oleh ‘cybertrooper’ upahan UMNO ini seakan mengulangi propaganda Nazi semata-mata.
“Kalau diulang 1,000 kali fitnah, ia akan jadi fakta seperti (pada) era Nazi…kita saman (akhbar Utusan Malaysia) dan menang, maka ia bendung 1,000 fitnah hingga (dianggap) menjadi fakta,” ujar beliau.
Turut berpidato dalam konvensyen itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang, Hata Wahari (bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaa, NUJ), Hishammuddin Rais (aktivis budaya merangkap blogger, Tukar Tiub), Datuk Abdul Halim Hussain (Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) serta Zairil Khir Johari (Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP).