Oleh : YAP LEE YING
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
JENAMA unik kopi keluaran seorang usahawan muda menarik Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara bertandang ke Kampung Jarak Atas, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU) baru-baru ini.
Serbuk Kopi Campuran Cap Lesong, tertarik dengan ejaan lama ‘lesong’, penulis kemudian bertanya kepada pemiliknya, Suhaidi Othman, 31, mengenai asal-usul ia.
Suhaidi yang agak pemalu orangnya memberitahu bahawa idea tersebut adalah daripada ibunya dan peralatan tersebut turut dimiliki arwah tok wan beliau yang menggunakan ia untuk menumbuk bahan-bahan masakan terutama rempah ratus pada zaman dahulu kala.
“Tambahan pula, saya rasakan yang ‘lesong’ dan serbuk campuran kopi yang dihasilkan keluarga kami boleh ngam.
“Sebabnya, kami hanya menumpukan penghasilan dan pengeluaran serbuk campuran kopi tradisional atau asli. Maknanya bukan yang berperisa expresso atau 3 in 1 yang memenuhi pasaran kini,” katanya yang telah mengambil alih perniagaan keluarganya sejak tahun 1992.
Selain jenama, keunikan serbuk campuran kopi yang telah berada di pasaran tempatan sejak tahun 1987 adalah pada kesegarannya.
“(Serbuk) kopi-kopi ini digoreng dan dibungkus pada setiap minggu. Maknanya, tiada stok lama yang disimpan walaupun untuk pasaran dekat-dekat sini.
“Umumnya, memproses biji kopi menjadi serbuk memerlukan kemahiran terutamanya dalam menentukan sukatan setiap adunan yang perlu dimasukkan.
“Arwah ayah membuat adunan kopi sejak saya masih kecil, namun, bagi memperoleh adunan yang betul-betul tepat, kami menghabiskan tempoh kira-kira 10 tahun.
“Maknanya, selepas 10 tahun, adunan yang dibuat baru betul-betul cun, tidak rasa hangit dan tiada complaint langsung daripada customer,” jawab Suhaidi yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik.
Suhaidi memberitahu, biji kopi yang digunakan beliau adalah jenis robusta dari Indonesia kerana rasanya adalah lebih menepati citarasa ‘orang Utara’.
“Biji-biji kopi pada mulanya digoreng selama 15 minit menggunakan kayu api, yang mana kaedah ini memberi kelainan kepada rasa Serbuk Kopi Campuran Cap Lesong yang dihasilkan.
“Selepas ia (biji kopi) ‘melompat-lompat’ macam pop corn, tambahkan gula ke dalam kawah dan kacau selama 20 minit.
“Selepas itu, masukkan marjerin, mentega dan gandum untuk mengelakkan biji-biji kopi daripada melekat antara satu sama lain, kacau lagi selama 30 minit.
“Biji-biji kopi kemudian diangkat dan diletakkan di atas meja selama lima hingga 10 minit untuk dikeringkan sebelum dimasukkan ke dalam mesin pengisar untuk dihancurkan dan dibungkus,” jelasnya yang kini dikurniakan tiga cahaya mata.
Kini, selain serbuk campuran kopi, turut dihasilkan adalah serbuk teh yang turut memperoleh permintaan ramai.
“Penghasilan serbuk teh kami adalah hasil campuran daun-daun teh dari Indonesia, Argentina dan India.
“Kami mengekalkan prinsip tidak meletakkan sebarang pewarna pada produk (kami). Saya tidak sanggup buat walaupun warna air teh akan menjadi lebih menarik sekiranya diletak pewarna. Tambahan pula, teh boleh ditapis banyak kali.
“Orang nak minum teh dan bukannya pewarna atau perasa tiruan,” ujarnya ringkas namun penuh dengan makna tersirat.
Bagi Suhaidi, walaupun tidak menghadapi persaingan dalam bidang tersebut, kos harga barangan mentah dan nilai mata wang negara yang menjunam banyak memberi impak kepada perniagaannya kini.
“Paling mahal adalah biji kopi. Sebelum (nilai) ringgit jatuh, harga satu tan biji kopi adalah RM7,500, selepas (nilai ringgit) jatuh, kini berharga RM9,000.
“Memang terasa sangat, namun tidak apa yang boleh dibuat,” jelas beliau yang tidak menafikan bahawa kerenah pelanggan juga merupakan salah satu cabaran yang tidak dapat dielakkan dalam bidang perniagaan.
Bagi Suhaidi, adalah menjadi impiannya untuk memperluaskan pasaran produknya yang kini hanya tertumpu di Seberang Perai, Alor Star, Kedah dan Bayan Lepas pada masa hadapan.
“Prinsip yang dipegang adalah buat sampai orang boleh terima dan diri rasa puas hati.
“Walaupun anak-anak masih kecil, adalah diharapkan mereka dapat mewarisi perniagaan ini kelak sebagaimana saya mewarisinya daripada Pak Man Kopi iaitu arwah ayah saya,” katanya sambil menghidangkan kopi Cap Lesong sebagai penghilang dahaga kepada kami yang bertandang.
INFO:
LESONG BESTARI MARKETING
851, Jalan Padang Chempedak Jarak Atas,
13300 Tasek Gelugor, SPU.
No. Tel.: 012 – 447 8101 (Suhaidi) / 016 – 410 0072 (Suhaimi) / 04 – 573 2991
Faks: 04 – 573 7662
Laman web: www.caplesong.com
} else {