Kos ganti tangki, sistem paip Blok A Kampung Melayu ditanggung penuh Kerajaan Negeri

AIR ITAM – Kerja-kerja bagi penggantian tangki air dan paip retikulasi serta kerja-kerja berkaitan di Flat Kampung Melayu Blok A dijangka bermula pada bulan Mei 2022 nanti.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, kelulusan bagi kerja-kerja tersebut adalah di bawah peruntukan Kerajaan Negeri dengan anggaran kos sebanyak RM500,000.

 

“Isu tangki air serta perpaipan sedia ada di sini telah usang dan memberi kesan terhadap kualiti kehidupan penghuni.

 

Bagi menjamin kualiti air bersih yang lebih baik untuk satu tempoh masa yang panjang, maka Kerajaan Negeri telah meluluskan penggantian tangki air di sini menggunakan 100 peratus dana Kerajaan Negeri.

 

“(Dan) tangki ini merupakan tangki air terbesar dengan kapasiti 218,000 liter jenis hot-dip galvanized bersaiz 14.64 meter (m) x 7.32m x 2.44m,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di sini pada 11 Februari 2022.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Ketua Pegawai Operasi Lembaga Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff; Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar serta wakil daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa kerja-kerja penggantian tersebut dijangka siap pada Ogos nanti termasuk menaik taraf sistem paip retikulasi jenis polietilena berketumpatan tinggi (HDPE).

 

Difahamkan, apabila siap kelak, setiap unit rumah (496 unit) dan unit kedai (8) di sini akan disambungkan dengan paip baharu sehingga ke meter air masing-masing.

 

Dalam sidang media sama, Jagdeep turut memberitahu bahawa beliau telah menghadiri Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) pada 10 Februari 2022 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan turut dihadiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

 

“Antara yang dibangkitkan pada mesyuarat tersebut adalah peruntukan bagi membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) dari Kerajaan Pusat.

 

(Dan) Menteri (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) telah memaklumkan komitmen untuk dua projek baharu PPR di Pulau Pinang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu satu di bahagian pulau dan Seberang Perai (1).

 

“Manakala baki tiga projek PPR lain akan dipertimbangkan dalam perancangan akan datang,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

 

Sebagai rekod, Kerajaan Negeri telah mengemukakan cadangan lokasi di setiap daerah di negeri kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pembinaan PPR. Berikut adalah cadangan yang telah dikemukakan sejak tahun 2018 : –

 

  • Daerah Timur Laut : Lot 10042, 10043 dan sebahagian petak A di Seksyen 1, Bandar Jelutong berkeluasan 23.24 ekar. (Permohonan pada 29 Ogos 2018)
  • Daerah Barat Daya : Tanah bersebelahan Lot 8471, Jalan Mayang Pasir Mukim 12 berkeluasan 7.82 ekar. (Permohonan 11 Januari 2019 dan Mac 2021)
  • Seberang Perai Utara : PT 741, Ujung Batu Butterworth berkeluasan 13 ekar.
  • Seberang Perai Tengah : Lot 1061-1065, 1072-1078 dan 1084-1088 Kampung Tongkang Mukim 14 (24.81 ekar).
  • Seberang Perai Selatan : Lot 20841-20843, Mukim 13 Batu Kawan (3.43 ekar).  

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI