Kos tangani semak samun wajar ditanggung tuan tanah persendirian, syor ADUN

Admin
img 3843

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee mencadangkan supaya saman serta kos menangani kes semak samun di tanah persendirian wajar dimasukkan dalam cukai tanah atau cukai pintu.

Menurutnya, adalah tidak wajar kos tersebut ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), seperti sekarang ini.

“Nak memotong sebatang pokok pun memerlukan kos kira-kira RM2,000.

“Menurut jawapan yang saya dapat di Dewan ini, kedua-dua PBT telah menyelesaikan sebanyak 5,908 kes semak samun di kawasan swasta (tanah persendirian), tetapi mendapat kutipan saman sejumlah RM230,466.69 sahaja pada tahun 2014 sehingga 2024.

“Secara purata, satu kes dengan kutipan sebanyak RM39 sahaja (yang mana) nak tebang pokok dan upah pekerja pembersihan pun tak cukup.

Saya faham PBT menghadapi cabaran dari segi undang-undang  mengutip balik semua saman, jadi, saya ingin cadangkan saman tersebut dimasukkan dalam cukai tanah dan cukai pintudengan ubahan akta yang sedia ada.

“Wang dibelanjakan oleh PBT adalah wang dari rakyat Pulau Pinang, tidak seharusnya dibelanjakan kepada segelintir pemilik hartanah yang tidak bertanggungjawb,” sarannya semasa membahaskan Belanjawan 2025 sempena persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 26 November 2024.

Tambahnya lagi, langkah proaktif itu akan mengukuhkan kedudukan kewangan kedua-dua Pihak Berkuasa Tembatan (PBT) Pulau Pinang, serta selaras dengan usaha Kerajaan Negeri yang menanggung kos perbelanjaan pengurusan yang begitu besar ketika ini.

Pada 22 November lepas, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota membentangkan Belanjawan 2025 Negeri Pulau Pinang dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM1.047 bilion, yang merangkumi RM940,223,689 perbelanjaan mengurus negeri.

Beliau berkata, belanjawan yang dibentangkan itu dengan RM33.63 juta anggaran kurangan kewangan merupakan defisit terendah dalam sejarah Belanjawan Negeri Pulau Pinang.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB