GEORGE TOWN – Projek Penyediaan Semula dan Konservasi Parit Kubu (Moat) di Kota Cornwallis dengan kos bernilai RM15.3 juta dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa komponen pertama projek tersebut adalah untuk mengembalikan semula parit kubu (moat) berbentuk ‘L’ yang menjadi mercu tanda dan benteng kubu semasa zaman kemegahannya di era British pada 1804.
“Anggaran kelebaran parit kubu yang mengelilingi Kota Cornwallis adalah sekitar 9 hingga 20 meter dan dibina menggunakan batuan granit serta bata.
“Parit kubu ini akan diisi dengan air, lengkap bersama-sama sistem penapisan yang akan menjamin kebersihan kawasan ini,” ujarnya usai mendengar taklimat berhubung projek berkenaan pada majlis pecah tanah di sini pada 18 Jun 2023.
Menurut Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah, komponen kedua bagi projek tersebut adalah melibatkan pembangunan semula Astaka Kota Selera untuk dijadikan medan selera yang lebih berkualiti dengan reka bentuk moden serta mampan.
“Medan selera ini lengkap dengan 26 gerai yang mana penggerai sedia ada akan ditempatkan di lokasi sementara (dalam tempoh pembinaan) iaitu di kawasan taman permainan bersebelahan padang bagi menjamin kelangsungan aktiviti perniagaan medan selera ini.
“Kesemua komponen ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 20 bulan iaitu pada tahun 2025,” ulasnya lanjut.
Difahamkan, Perunding YAA Sdn. Bhd. dilantik sebagai perunding utama dan kontraktor utama iaitu Jayamas Property Construction Sdn. Bhd. dilantik untuk pembangunan projek berkenaan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa pihak George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC) bersama-sama barisan perunding dari dalam dan luar negara yang dilantik akan melaksanakan projek penyediaan mini galeri di ‘storeroom‘, Kota Cornwallis.
“Sebanyak 10 ‘storeroom‘ yang akan mempersembahkan kebudayaan berbeza mengikut garis masa dan dijangka akan siap pada pertengahan tahun 2024.
“Untuk projek ini, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 juta dan pada masa sama, Kerajaan Negeri bersama-sama GTCDC juga sedang dalam perancangan untuk menaik taraf East Seafront dari Jeti Swettenham ke Tanjung City Marina.
“Manakala Projek Penang Bay akan menghubungkan pembangunan ‘waterfront‘ di Butterworth dengan pembangunan North Seafront dan East Seafront (di bahagian pulau),” jelasnya sambil mengharapkan kesemua projek pembangunan yang dirancang itu berjalan lancar dan siap mengikut garis masa ditetapkan.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Komunikasi menzahirkan penghargaan atas kerjasama dan komitmen serta dedikasi yang dicurahkan semua pihak dalam menjayakan projek tersebut.
Saya yakin dengan ikatan kerjasama ini, tidak lama lagi kita akan melihat pembangunan keseluruhan Kota Cornwallis yang boleh dijadikan contoh sebagai tapak warisan yang berjaya memaksimumkan aset kebudayaan warisan bernilai tinggi serta bertaraf antarabangsa.
“Hal ini, sekali gus mampu meningkatkan pembangunan serta kemampanan sosio ekonomi negeri dengan mengekalkan nilai-nilai sejarah, melestarikan alam sekitar serta mewujudkan ruang awam yang selesa dan inklusif untuk semua,” katanya.
Terdahulu, ketika berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu menyorot kembali perjalanan selama 15 tahun setelah George Town dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Turut berucap, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong antara kenamaan yang hadir.
Hadir sama, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI), S. Bharathi; Pesuruhjaya Warisan Pulau Pinang, Rosli Nor; Pengarah Urusan Think City Sdn. Bhd., Hamdan Abdul Majeed; Ahli-Ahli Majlis bagi MBPP; Ahli-ahli Lembaga Pengarah GTCDC.
Di bawah Pelan Induk Strategik George Town, terdapat sebanyak 14 projek utama dengan kos keseluruhan sebanyak RM140 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri melalui CMI, MBPP dan Think City Sdn. Bhd..
Sebanyak 10 projek telah disiapkan antaranya, projek tembok laut Padang Kota berjumlah, menaik taraf padang, menaik taraf susur pejalan kaki di Lebuh Light dan menaik taraf Menara Jam Queen Victoria.
Manakala projek yang sedang dilaksanakan merangkumi penyediaan pameran di ‘storeroom‘ Kota Cornwallis, penyediaan semula parit kubu dan projek ‘linear garden‘.
Kesemua projek ini diterajui oleh GTCDC selaku agensi usaha sama dengan Think City Sdn. Bhd. dan CMI serta bantuan kepakaran daripada konsultan antarabangsa, The Aga Khan Trust for Culture (AKTC).
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI