KPDN Pulau Pinang serbu gudang, rampas komoditi kawalan bernilai lebih RM80,5000

Admin
53e6dee2 00d1 4bdd b4e9 f0239bb6f638 SIDANG media berkaitan seusai pihak penguatkuasa KPDN mengadakan operasi menyerbu sebuah gudang serta berjaya merampas pelbagai komoditi kawalan dan bersubsidi di sini menjelang tengah hari tadi.

BUKIT TENGAH – Aktiviti penyelewangan pelbagai komoditi kawalan dan bersubsidi seperti minyak masak polibeg satu kilogram, gula serta tepung gandum bernilai kira-kira RM80,500 di sebuah gudang di sini berjaya dirampas dalam satu operasi serbuan pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Mohd. Suffian Mohd. Abbas berkata, pihaknya beberapa kali telah membuat operasi pemantauan berwajib sebelum melakukan serbuan di gudang barangan dekat Permatang Batu, Perda dibuat pada 11.00 pagi tadi.

Dalam operasi tersebut, beliau berkata pihaknya turut menyita sebuah lori bernilai RM25,000.

“Sepanjang pemantauan yang dijalankan pihak kami mendapati pintu masuk gudang itu memaparkan tulisan cuti malah pintu tersebut turut berkunci dengan mangga namun berdasarkan intipan mendapati terdapat pergerakan keluar dan masuk beberapa buah kenderaan termasuk lori ke premis tersebut.

“Hari ini kami berjaya menyerbu masuk gudang itu ketika sebuah kereta milik pekerja di situ mahu masuk ke dalam premis dan semasa serbuan terdapat seorang pemandu lori iaitu lelaki tempatan berusia 70-an yang baru sudah memunggah barangan masuk ke dalam lorinya manakala terdapat dua lagi pekerja di percayai warga asing berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguatkuasa,” katanya kepada pemberita di sini tadi.

Hasil pemeriksaan dalam gudang itu, beliau berkata pihaknya menemui minyak masak sebanyak 6,371 kilogram(kg), gula pasir sebanyak 18,100 kg dan tepung gandum 1,100 kg yang kesemuanya adalah barangan kawalan dan bersubsidi yang bernilai RM80,500.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Suffian berkata, hasil pemeriksaan berwajib turut mendapati gudang itu yang terletak 500 meter dari jalan utama adalah milik sebuah syarikat serta mempunyai lesen menyimpan barang kawalan; serta dipercayai bertindak menyelewengnya kerana mahu mengaut keuntungan besar.

Jelas beliau, modus operadi adalah mendapatkan bekalan barangan kawalan daripada pemborong sebelum ia diisi semula ke dalam tong untuk minyak masak manakala gula pula dalam guni sebelum ia dijual kepada pihak industri dengan harga mengikut pasaran.

“Kami temui minyak masak paket polibeg yang masih belum dibuka dan telah dibuka yang mana minyaknya diisi semula ke dalam tong berkapasiti 17kg untuk dijual kepada industri dengan harga sekitar RM80 hingga RM90 setiap tong, jadi mereka kaut keuntungan sekitar RM40 setiap tong.

“Begitu juga dengan gula, mereka buka pek 1 kg itu dan bungkus semula dalam guni 50 kg sebelum jual semula kepada industri, kami percaya mereka telah menjalankan kegiatan itu sejak dua hingga tiga tahun lepas dengan mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan,” katanya.

Berdasarkan pemeriksaan berkaitan juga, beliau berkata, pihaknya mendapati kesemua bungkusan minyak masak, gula dan tepung gandum itu akan dibakar di bahagian belakang gudang tersebut dipercayai bagi memusnahkan bahan bukti.

Tambah beliau, pihaknya menahan seorang wanita warga Filipina dan pemandu lori itu bagi membantu siasatan serta usaha mengesan pemilik syarikat tersebut sedang giat dijalankan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan bekalan 1961 dan Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB