KREATER anjur festival teater tradisional, nadi seni warisan negara

Admin

GEORGE TOWN – Persatuan Penjana Kreatif Seni Teater Pulau Pinang (KREATER) bakal menganjurkan sebuah program Festival Teater Tradisional Utara @Georgetown (FTTU 2023) buat pertama kali.

Berkonsepkan “Traditional Heritage in the Park”, festival ini bertujuan memelihara warisan kesenian dan warisan yang telah lama dilupakan sejak dari generasi terdahulu.

Menurut wakil Persatuan KREATER, Muhammad Nasrul Azhar Mohd. Noor, selain memberi pendedahan ia juga bertujuan sebagai pendidikan produk promosi pelancongan.

“FTTU 2023 berfungsi sebagai penanda aras untuk menyokong penggiat seni teater tradisional yang menjadi nadi kepada seni budaya warisan negara.

“Bandar Raya George Town dipilih menjadi pusat acara festival kerana terkenal dek kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia di samping sering menjadi tumpuan utama pelancong dalam dan luar negara.

“Di samping itu, program ini turut dilihat sebagai sebuah usaha dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan memelihara seni budaya warisan dengan pelbagai aktiviti sokongan yang relevan terhadap semua peringkat umur,” ujarnya semasa sesi sidang media FTTU 2023 dekat Komtar baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Dr. Gwee Sai Ling dan Pegawai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang, Nuraini Mat Doa.

Sementara itu, wakil MyPenang Creative, Muhammad Syazwan Hayqal Mohammad Sani yang turut hadir pada sidang media berkaitan memaklumkan bahawa FFTU 2023 bakal menyajikan pelbagai aktiviti dan bengkel menarik sepanjang tiga hari berlangsungnya festival berkenaan.

“FTTU 2023 bakal diadakan selama tiga hari iaitu pada 29 September 2023 sehingga 1 Oktober 2023 bertempat di Sia Boey Urban Archaeological Park.

“Majlis pelancaran akan diadakan pada 30 September 2023, sementara itu pelbagai aktiviti, pameran, bengkel, gerai makanan dan persembahan menarik bakal disajikan untuk hiburan semua lapisan umur.

“Di samping itu, kanak-kanak turut berpeluang menyertai peraduan mewarna, membuat topeng dan menonton persembahan boria, mek ulung, jikey, wayang kulit gedek, muay thai dan banyak lagi,” jelasnya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan keterangan lanjut, sila layari laman sesawang MyPenang Creative di www.mypenangcreative.com serta laman media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD