Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
PULAU TIKUS – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini mempersoalkan kreadibiliti sebuah petisyen atas talian disuarakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah projek pembangunan komersial 27 tingkat, Moulmein Rise di sini baru-baru ini.
Terdapat lebih 200 nama disenaraikan membantah projek tersebut dan 24 daripadanya adalah nama didakwa ‘menyerupai’ Ahli Majlis MPPP dan Yang Dipertua Majlis, Datuk Ar. Patahiyah Ismail.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pada satu sidang media berkata, kemungkinan individu-individu yang dimaksudkan mempunyai nama yang sama.
“Petisyen yang dibuat adalah kekurangan aspek kredibiliti dan kesahihannya,” katanya di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong dan D.Harvinder Singh.
Serentak itu, beliau turut mempersoalkan sebab peniagapeniaga di sini tidak menyuarakan bantahan mereka, sebaliknya petisyen tersebut menyatakan seolah-olah mendapat bantahan daripada semua pihak.
“Pemaju projek ini adalah sama dengan pemaju sebuah kompleks membeli-belah 1st Avenue. Kita dapat lihat kualiti tempat kereta (1st Avenue) yang saya berani katakan tempat letak kereta terbaik berbanding lain.
“Pada masa sama, pihak pemaju turut menyediakan 200 tempat parkir kereta di sut komersial tersebut dan 90 lagi adalah tempat letak kereta awam berdasarkan keperluan pengunjung di sini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Patahiyah menyatakan bahawa beliau sendiri terkejut apabila menerima emel petisyen bantahan berkenaan yang turut menyenaraikan namanya.
“Berdasarkan maklumat petisyen tersebut, saya menyangkal fakta-fakta pembangunan dikeluarkan pihak terbabit iaitu pertama, tanah
tersebut sebenarnya merupakan tanah persendirian dan lebih 50 peratus daripadanya pada asalnya adalah tanah komersial.
“Selain itu, MPPP telah mengeluarkan tiga notis dan turut mendengar bantahan daripada penduduk berhampiran (20 meter dari kawasan pembangunan) sepertimana ditetapkan di bawah Seksyen 21 (6) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976,’’ tegas beliau.