TANJUNG BUNGAH – Bermula semalam sehingga 27 Disember ini, lebih sembilan jenis barangan telah disenaraikan di bawah kawalan harga Pelaksanaan dan Pemantauan Harga Barangan Terkawal Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024.
Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol berkata bahawa pihak berkenaan telah menjalankan lebih 48,000 operasi serbuan sejak Januari tahun ini, dan berjaya mengambil tindakan terhadap 695 kes pelanggaran penguatkuasaan.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (Negeri Pulau Pinang) telah menugaskan seramai 137 pegawai penguat kuasa dan 62 pegawai pemantau ke pasar raya serta pusat membeli-belah di seluruh negeri untuk memastikan pelaksanaan pelan kawalan harga ini berjalan lancar.
“Ini telah menunjukkan komitmen pihak berkuasa terhadap kawalan harga barangan di negeri ini.
“(Dan) antara barangan tersebut adalah daging kambing biri-biri bertulang import, ayam tua hidup (Sarawak sahaja), kubis bulat (import Indonesia dan China), lobak merah, tomato, cili merah.
“Lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar, ubi kentang (import dari China), kepak ayam serta khinzir hidup (peringkat ladang), daging khinzir bahagian perut dan daging babi bahagian daging dan lemak juga termasuk dalam senarai barangan yang dipantau,” jelasnya semasa sesi sidang media yang diadakan di sini semalam, 23 Disember 2024.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penguatkuasa Negeri KPDNNPP, Mohd. Suffian Mohd. Abass; Pengarah KPDNNPP, S. Jegan, Pengarah Iman Ikhlas (M) Sdn. Bhd., Datuk (Dr.) Saduruddin Gulam Hussain.
Mengulas lanjut, Rashidi berharap agar peniaga dapat bekerjasama dengan pelan pelaksanaan kawalan harga ini.
“Sekiranya pihak berkuasa mendapati peniaga menjual barangan dengan harga yang tidak munasabah, adalah digalakkan supaya umum membuat aduan segera kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
“Saya difahamkan, keseluruhan barangan yang dirampas mencecah lebih RM2.1 juta, manakala jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM308,950.
“Daripada jumlah tersebut, 1,025 kes melibatkan isu harga barangan dan perkhidmatan, kes berkaitan harga barangan kawalan (186), dan kes lain berkaitan pelbagai aduan (1,140),” jelasnya.
Difahamkan, bagi tempoh Januari sehingga 22 Disember tahun ini, pihak berkuasa telah menerima sebanyak 2,351 aduan daripada orang awam, (dan) 80 peratus daripadanya terdiri daripada minyak masak bersubsidi dalam pek.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS