Mendiang Karpal Singh, 74, dilahirkan di sini pada tanggal 28 Jun 1940, dan maut bersama pembantu peribadinya, Michael Cornelius Selvam Vellu, 39, dalam satu nahas jalan raya pada awal pagi 17 April lepas.
Selepas melanjutkan pelajaran di St. Xavier Institution, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) Singapura sehingga tahun 1969.
Mendiang sempat menyertai firma Raja Ridzuan & Co. di Alor Setar, Kedah pada tahun 1970, sebelum menubuhkan sendiri firma Karpal Singh & Co. pada pada tahun berikutnya.
Karpal Singh mendirikan rumah tangga dengan Gurmit Kaur pada 30 Julai 1970, dan dianugerahi lima cahaya mata, iaitu Jagdeep Singh Deo, Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, Sangeet dan Mankarpal.
Perjalanan politik Karpal bermula pada tahun 1970 apabila menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Pertama kali Karpal bertanding pilihan raya umum pada tahun 1974 dan dipilih memenangi kerusi bandar Alor Setar.
Pada tahun 1978, beliau bertanding di kerusi Parlimen Jelutong serta Dewan Undangan Negeri Bukit Gelugor, dan berjaya memenangi kedua-dua kerusi tersebut.
Kelantangannya di mahkamah dan arena politik tanah air mengakibatkan Karpal pernah diheret ke tahanan tanpa bicara Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987.
Tidak lama selepas dibebaskan, Karpal ditahan semula di bawah akta sama pada tahun 1989.
Dalam Pilihan Raya Umum 1990, Karpal berjaya mengekalkan mandat di Parlimen Jelutong, tetapi, gagal merebut kerusi DUN Padang Kota.
Karpal disebut-sebut sebagai ‘Tiger of Jelutong’ kerana kewibawaannya sebagai pemimpin berpinsip dengan ketertinggian perlembagaan, walaupun terpaksa ke penjara akibat permainan politik pemerintah.
Karpal, kemudiannya bertanding di Parlimen Bukit Gelugor pada tahun 2004, iaitu kerusi yang baru diwujudkan dan menang.
Karpal turut berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi sama, pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013.
Sepanjang hidup bergelar pengamal undang-undang, Karpal dikenali sebagai pemimpin berprinsip apabila berani membela seorang wanita Islam yang dipecat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak pada awal tahun 1990-an hanya kerana mangsa memakai purdah.
Karpal bagaikan tahu ajalnya kunjung tiba, apabila melepas semua jawatan parti ekoran Mahkamah Tinggi menetapkan beliau bersalah di bawah Akta Hasutan, didenda RM4,000 serta akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sebelum nahas berlaku pada awal pagi 17 April lepas.
Bersemadilah dengan aman YB! Jasamu dikenang…