KSN terima darjah tertinggi D.U.P.N.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa mendahului senarai 1,156 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Pulau Pinang sempena sambutan ulangtahun ke-76 Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas di sini baru-baru ini.

Ali, 59, adalah penerima tunggal darjah tertinggi negeri Pulau Pinang, Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Menurut senarai penerima dikeluarkan Bahagian Persidangan dan Anugerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, hanya seorang penerima menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N.) yang membawa gelaran Datuk Seri iaitu Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Selain itu, sembilan penerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N.) yang membawa gelaran Datuk Seri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus, Prof. Dr. H.C. Ludwig Georg Braun (Pengerusi bagi Supervisory Board of B. Braun Melsugen AG), Datuk Ibrahim Ahmad (Pengerusi Eksekutif Brahim’s Holding Berhad dan Dewina Holdings Sdn. Bhd.), Datuk Khor Teng Tong (Pengerusi Eksekutif Hunza Properties Sdn. Bhd.), Datuk Yusuf Taiyoob (Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd.) dan Datuk Zainal Azman Zainul Aziz (tokoh usahawan peruncitan).

Seramai 16 penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N.) yang membawa gelaran Datuk, antaranya, Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Datuk Abdul Hadi Hussain, Datuk Bhupinder Singh Jeswant Singh (Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang), Mejar Jeneral Datuk Wira Md. Tajri Alwi (Datuk Paduka Maharaja Lela di Istana Negara), Mejer Jeneral Datuk Mohd. Shukri Ahmad (Panglima 2 Divisyen Rejimen Askar Melayu Diraja) dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Amdan Kurish.

Turut sama, Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mokhtar Mohd. Jait, Datuk Ong Kok Sun (Pengarah Urusan OSK Reality Development Sdn. Bhd.), Datuk Pulayantran Kayambu (Penasihat Persatuan Pembangunan Ekonomi Usahawan Masyarakat India), Datuk Ir. Teh Kean Ming (Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad) dan Datuk Syed Jaafar Syed Ali (Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Negeri Pulau Pinang).

Manakala, seramai 64 individu menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N.) yang membawa gelaran Datuk, antaranya Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abu Jamal Nordin, Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang, Aliza Sulaiman, Maimunah Mohd. Sharif (Yang dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai), Maktar Shapee (Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap) dan Mufti Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Selain itu, 65 individu menerima Darjah Johan Negeri (D.J.N.), Bintang Cemerlang Negeri (B.C.N.) (32 orang), Pingat Kelakuan Terpuji (P.K.T.) (160), Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) (442), Pingat Jasa Masyarakat (P.J.M.) (310) dan Pingat Bakti Setia (P.B.S.) seramai 56 orang.

Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan itu berlangsung selama empat hari iaitu pada 20 September, 22 September, 24 September dan 25 September di Dewan Sri Pinang di sini.