Kualiti udara kawasan berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung bertambah baik

JAWI – Kualiti udara di beberapa kawasan berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang terbakar baru-baru ini bertambah baik dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap sederhana.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata sehingga semalam, pemantauan kualiti udara mendapati tahap kepekatan gas tercemar dalam udara di kawasan berkenaan semakin menurun selepas cuaca hujan sejak beberapa hari lalu.

Sharifah Zakiah Syed Sahab.

“Pemantauan dilakukan sejak dari awal menggunakan peralatan pengukur gas seperti ‘CEREX’ di Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru serta satu stesen utama yang mengukur bacaan IPU di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram.

“(Dan) secara keseluruhannya kita mendapati bahawa kualiti udara bertambah baik pada hari ke-25 sejak operasi pemadaman kebakaran dijalankan di tapak pelupusan sampah Pulau Burung.

“Kalau kita lihat dari segi bacaan IPU, disebabkan hujan semalam dan kerja-kerja pemadaman yang telah selesai beberapa hari lepas, kita nampak ‘trend’ kualiti udara semakin baik.

“Walau bagaimanapun, kita akan terus melakukan kerja-kerja pemantauan menggunakan termal dron untuk mengesan titik panas membabitkan semua fasa di tapak pelupusan sampah agar tiada lagi lokasi baharu yang boleh mengakibatkan kebakaran,” katanya pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Dewan Serbaguna Jawi di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri bersama-sama barisan pimpinan Kerajaan Negeri ketika melawat kawasan kebakaran pagi tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Mohamed Yunus; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Marlia Mohd. Belia serta wakil-wakil agensi penyelamat.

Syarifah berkata, cerapan kualiti udara turut dilakukan di beberapa kawasan di luar kawasan Ladang Byram dan mendapati tiada unsur gas tercemar yang berpunca daripada kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung dikesan sehingga semalam.

“Ini penting untuk melihat sama ada gas yang dicerap di Ladang Byram turut terdapat di tempat-tempat lain kerana kandungan gas yang tercemar adalah menjadi kebimbangan kita ketika ini,” ujarnya.

Kerja-kerja susulan masih giat dijalankan.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa pihaknya telah mengeluarkan notis kepada pihak syarikat konsesi PLB Terang Sdn. Bhd. untuk menambah baik beberapa perkara dalam pengurusan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah Pulau Burung.

Susulan kualiti udara masih berada pada tahap sederhana, Marlia memaklumkan bahawa semua penduduk yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) masih belum dibenarkan kembali ke rumah masing-masing.

“Oleh itu, SJKT Ladang Byram juga masih lagi ditutup untuk sesi persekolahan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri akan memastikan kerja-kerja susulan di kawasan kebakaran terus dijalankan sehingga keadaan benar-benar selamat.

Mendengar taklimat daripada agensi berkaitan mengenai situasi semasa.

“Walaupun kebakaran sudah dapat dikawal hampir 100 peratus, namun kerja-kerja susulan masih diteruskan termasuk membina pemecah api, menimbus tanah merah di kawasan yang telah dipadam dan lain-lain.

“Kerajaan Negeri juga akan terus memantau keadaan sehingga kita yakin masalah dapat diselesaikan sepenuhnya,” ulasnya.

Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan terus mendapatkan nasihat daripada JAS sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan penutupan PPS dan membenarkan penduduk kembali ke rumah masing-masing demi keselamatan.

“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dari segi keselamatan penduduk walaupun kita sedar bahawa bukan senang untuk mereka berada di PPS.

“Kita percaya pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan terus membantu penduduk terlibat,” katanya.

Ketua Menteri mengadakan sidang media dekat Dewan Serbaguna Jawi.

Pada masa sama, Kon Yeow turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi dan jabatan yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung.

Mengulas mengenai tindakan terhadap pihak pengurusan, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat khas pada minggu depan untuk membuat penilaian terhadap prestasi pihak pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung.

“Pihak berkuasa tempatan (MBSP) diarah meneliti tahap pematuhan dalam pengurusan tapak pelupusan sebelum Kerajaan Kegeri membuat pembentangan cadangan tindakan bakal dikenakan kepada syarikat konsesi,” tegasnya.

Terdahulu, Kon Yeow bersama-sama pemimpin negeri lain turut melawat tapak pelupusan sampah yang terbakar baru-baru ini sebelum diberi taklimat di Pejabat Pengurusan Fasa 3 Pusat Pelupusan Sampah Pulau Burung.

Keadaan terkini tapak pelupusan sampah Pulau Burung.

Sebelum ini, tapak pelupusan sampah Pulau Burung dekat Jalan Byram yang berkeluasan 6.5 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang pada 12 Januari lalu.

Ekoran itu, kira-kira 400 orang daripada hampir 90 keluarga yang tinggal berdekatan tapak tersebut terpaksa dipindahkan manakala 10 sekolah turut diarahkan tutup selama tiga hari bermula 19 Januari 2022.

Operasi pemadaman sebelum ini turut dilakukan menggunakan kaedah pengeboman air menggunakan dua buah helikopter dengan bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang dan Pulau Pinang.

Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga menyalurkan bantuan kewangan khas berjumlah RM1,000 masing-masing kepada setiap isi rumah yang terjejas.

Susulan keadaan di tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang kini dalam keadaan terkawal, JBPM telah menamatkan misi memadamkan kebakaran pada 31 Januari lalu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF & ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR