Kubu kebal Perang Dunia Kedua bakal dipulihara, dipelihara – Exco

TANJUNG BUNGA – Kerajaan Negeri melalui George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) bakal melaksanakan projek pemuliharaan dan pemeliharaan kubu kebal (pillbox) peninggalan Perang Dunia Kedua yang terdapat di negeri ini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata pelaksanaan projek itu adalah susulan penemuan beberapa kubu kebal dekat Teluk Kumbar oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang pada Oktober 2020.

Yeoh Sooh Hin menunjukkan keadaan terkini kubu kebal yang terletak di Tanjong Tokong, di sini.

“Pelaksanaan projek ini adalah untuk menjalankan kajian terhadap kubu kebal yang merupakan sumber sejarah penting bagi negeri Pulau Pinang.

“Setakat ini, GTWHI telah mengenal pasti sebanyak 14 kubu kebal yang terdapat di Pulau Pinang iaitu 13 di bahagian pulau manakala satu lagi di Seberang Perai tetapi kita jangkakan lebih banyak akan dijumpai selepas ini.

Dr. Ang Ming Chee menunjukkan inventori yang dikumpul bagi projek pemuliharaan dan pemeliharaan.

“Selepas dipulihara, kubu kebal ini akan diubah suai menjadi tarikan baru selaras dengan konsep pelancongan warisan yang terkandung dalam Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media semasa mengadakan lawatan ke tapak kubu kebal dekat Tanjong Tokong di sini pagi tadi.

Pengurus Besar GTWHI, Dr. Ang Ming Chee turut serta dalam lawatan tersebut.

Soon Hin berkata, projek pemuliharaan dan pemeliharaan kubu kebal bakal dilaksanakan melalui enam fasa dan dijangka mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun untuk disempurnakan.

“Kita masih di peringkat Fasa 1 yang melibatkan kajian dokumentasi dan penyediaan inventori kubu kebal yang telah dikenal pasti kerana sebelum ini tidak ada kajian terperinci mengenai perkara ini.

“Aktiviti-aktiviti yang terlibat pada peringkat ini termasuklah mengenal pasti geolokasi, ukuran, pemilik tanah, menganalisa keadaan fizikal binaan serta mengumpul maklumat sejarah yang berkaitan.

“Ini kerana setiap kubu kebal mungkin mempunyai ciri-ciri yang berlainan mengikut fungsi serta lokasinya.

“Sehingga Februari, pasukan GTWHI telah berjaya melengkapkan 90 peratus kerja-kerja berperingkat Fasa 1,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Mengulas lanjut, Soon Hin menjalaskan bahawa Kerajaan Negeri kini dalam proses mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Pertahanan Malaysia serta bantuan teknikal Muzium Angkatan Darat memandangkan kubu kebal mempunyai kaitan dengan ketenteraan.

Keadaan kubu kebal kini.
Struktur kubu kebal yang masih dalam keadaan baik.

“Kami juga sedang mendapakan maklum balas bertulis daripada beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan dijalankan.

“Selain itu, GTWHI juga sedang mengenal pemilik tanah bagi lokasi-lokasi kubu kebal yang telah dijumpai ini kerana kita memerlukan persetujuan bertulis daripada pemilik tanah untuk membolehkan kerja-kerja pemuliharaan dijalankan.

“Malah, kita juga telah mencadangkan kepada Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang untuk mewartakan kubu kebal sebagai tapak warisan di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 bagi melancarkan pelaksanaan projek,” katanya.

Sementara itu, Ming Chee menjelaskan bahawa pelaksanaan projek pemuliharaan dan pemeliharaan kubu kebal memerlukan perancangan yang sangat rapi supaya ia lebih mampan.

“Sebenarnya kerja-kerja di Fasa 1 melibatkan inventori dan dokumentasi memakan masa yang agak lama kerana kita perlu membuat perancangan yang teliti.

“Kita mahu projek ini bukan sahaja menjaga nilai sejarah warisan tetapi juga mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING