Kuda diselamatkan, struktur haram diroboh bendung aktiviti berkuda di Batu Ferringhi

Admin
30968b85 d91c 4782 9371 c18f22432847

TANJUNG BUNGA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyelamatkan dua ekor kuda dan merobohkan struktur haram yang dipercayai untuk kegunaan aktiviti berkuda di persisir pantai Batu Feringghi.

 

3c504e11 5d00 47f6 b24d 44bef2b7c4e5

Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Penguatkuasaan MBPP, Noorazrein Noorazlan Ong berkata, Kerajaan Negeri sebelum ini telah mengumumkan pengharaman aktiviti berkuda di sini bermula 1 September ekoran aduan awam dan pengabaian terhadap haiwan tersebut.

“Susulan pengharaman itu, kami (MBPP) mendapati masih terdapat bangsal yang dipercayai didirikan secara haram di atas tanah milik kerajaan berhampiran pantai Batu Ferringhi untuk menempatkan kuda-kuda ini.

“Satu notis di bawah Seksyen 81(e) Akta Kerajaan Tempatan 1976 telah dikeluarkan ke atas bangsal yang dijadikan sebagai kandang kuda dan menyebabkan kacau ganggu kerana tidak adanya saliran dan tidak sesuai didiami oleh haiwan tersebut, najis dan kumbahan turut disalirkan ke anak sungai sebelah bangsal terbabit.

“Dua ekor kuda telah diselamatkan yang mana salah satu kuda tersebut dalam keadaan cedera di bahagian kaki dan badan. Kuda- kuda tersebut dipercayai diperoleh daripada pusat lumba kuda berdasarkan cap nombor pada badan kuda tersebut,” ujarnya pada Operasi Hapus Aktiviti Kuda (Ops Trojan) berkaitan di sini semalam.

 

7546168b 23f8 49ad bc7a 4431310b8575

Hadir sama, Pegawai Veterinar MBPP, Tan Suan Heoh.

Tambah Noorazrein, kuda-kuda tersebut akan ditempatkan sementara di Jabatan Veterinar MBPP Jalan Sungai sebelum dirujuk kepada Jabatan Veterinar Negeri Pulau Pinang untuk tindakan susulan.

Sebelum ini, MBPP mengambil lebih 50 tindakan penguatkuasaan sepanjang Januari hingga Mei lalu terhada warga asing yang menjalankan aktiviti berkuda kepada pengunjung di pesisir pantai sekitar Batu Ferringhi.

“Kita pernah lakukan operasi di pantai tetapi didapati agak bahaya apabila kuda bertindak agresif, kita bimbang keadaan ini akan mendatangkan kecederaan kepada orang awam,” katanya lagi.

Suan Heoh dalam pada itu, mengakui bahawa bangsal yang dibina oleh pengusaha adalah tidak bersesuaian dengan kuda terutamanya dari segi lantai, bumbung dan saliran kumbahan serta terdapat kecederaan pada haiwan tersebut.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: DARWINA MOHD. DAUD