Kuih bulan ajar kuasakan rakyat Malaysia – ADUN

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

NIBONG TEBAL – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee mengambil kesempatan mengedarkan kuih bulan kepada kira-kira 200 peserta senamrobik sempena sambutan Hari Malaysia ke-50 peringkat Seberang Perai Selatan (SPS) di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, kuih bulan adalah simbol kejayaan perjuangan rakyat membebaskan diri masing- masing dari belenggu penjajahan.

Justeru, katanya lagi, warga Pulau Pinang yang berbilang kaum harus terus menguatkan upaya rakyat sebagaimana yang dijamin oeh Perlembagaan Persekutuan sempena sambutan Hari Malaysia.

“Saya berharap program ini dapat merapatkan silaturahim masyarakat berbilang kaum sekitar SPS pada hari yang bersejarah ini,” ujar Lip Chee di perkarangan Taman Berjaya, di sini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Shariff serta dua orang Ahli Majlisnya, Loh Joo Huat dan H’ng Mooi Lye.

Dalam perkembangan lain, Lip Chee turut merakamkan penghargaan kepada MPSP, Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi dan MyShape Fitness Centre atas penganjuran bersama program senamrobik tersebut.

Beliau berkata, penyediaan kemeja-T untuk semua peserta program menggunakan peruntukan ADUN membuktikan bahawa pihaknya menyokong program sihat sebegitu diadakan di sini pada setiap hujung minggu.