GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan terus mengukuhkan daya saing sektor pembuatan maju (advanced manufacturing) dalam usaha memastikan Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan berkualiti tinggi.
Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, dalam masa sama usaha untuk memperkukuhkan kelompok industri (industry cluster) serta usaha agresif untuk menarik bakat-bakat ke Pulau Pinang akan dilaksanakan.
Jelasnya, ke arah matlamat itu beberapa perancangan telah dilakukan sepanjang tahun 2021.
“Kita akan melaksanakan beberapa sesi webinar secara bersasar bagi menarik pelaburan membabitkan sesi dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah pada bulan April ini dan Taiwan (Jun), manakala China, Singapura serta Jepun (separuh akhir tahun 2021).
“investPenang (iP) juga giat berinteraksi dengan pelabur baharu malah (pelabur) sedia ada, dan melalui usaha ini beberapa pembekal utama kepada pelabur baru Lam Research, Smith & Nephew dan Dexcom telahpun memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan mereka.
“Sebagai tambahan, iP juga dalam rangka perbincangan dengan pihak-pihak ini untuk menganjurkan Hari Pembekal (Supplier Day), ini secara langsung membolehkan para pelabur untuk berinteraksi dengan pemain Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan yang berpotensi menjadi pembekal tempatan sekali gus mempercepatkan proses penyumberan tempatan di negeri ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Selaku Exco bertanggungjawab Abdul Halim sebelum itu dalam Sesi Libat Urus Antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama ADUN Pulau Pinang yang berlangsung petang tadi telah mengemaskini perkembangan dan pelaksanaan dasar, projek serta program di bawah pihaknya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Halim memberitahu bahawa iP telah memperuntukkan sejumlah RM4 juta bagi melancarkan program Penang i4.0 Seed Fund bagi membantu para start-up yang memiliki produk dengan teknologi inovatif dan perkhidmatan untuk tujuan komersial.
“Program ini menyediakan dana permulaan dari RM50,000 sehingga RM250,000 untuk setiap projek atau start-up dan dengan jumlah peruntukan RM1 juta, Penang i4.0 Seed Fund #3 telah dibuka untuk permohonan dari 26 Februari sehingga 26 Mac baru-baru ini,” tambah beliau.
Sebagai tambahan, Abdul Halim berkata bahawa Pusat CAT (Penang Career Assistance & Talent Centre) juga akan terus fokus untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi kerjaya MyPenang.
“Bagi menarik lebih banyak bakat dari seluruh negara ke Pulau Pinang, pusat ini juga menjalinkan kerjasama dengan TalentCorp, PERKESO dan NCIA untuk mempromosikan program-program yang disasarkan khusus untuk membantu bakat dan pencari kerja, selain mengadakan Career Exploration Week dengan menjemput syarikat-syarikat yang aktif dalam pengambilan pekerja untuk berkongsi peluang kerjaya di syarikat masing-masing,” ulas beliau.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS