SEBERANG JAYA – Penubuhan Majlis Industri Makanan dan Teknologi Pertanian Pulau Pinang di bawah InvestPenang (IP) diharap akan mempercepatkan lagi pertumbuhan sektor-sektor berkenaan di samping menarik lebih banyak pelaburan berkaitan ke negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Masa Depan Lestari Berkaitan Agikultur Pintar dan Industri Makanan Pulau Pinang di sini pada 1 Februari 2024.
“Kerajaan Negeri melalui InvestPenang (IP) komited untuk saling berganding baharu dengan agensi-agensi berkaitan seumpama MIDA (Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia) dan MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) serta para pemegang taruh dalam sektor industri lain seperti sebelum ini untuk mempercepatkan lagi perubahan industri teknologi makanan serta pertanian pintar.
“Tumpuan pelaburan Kerajaan Negeri melalui InvestPenang (IP) ini sudah tentu dalam sektor E&E (elektrik dan elektronik), industri teknologi dan perkhidmatan perniagaan sejagat, (namun) saya percaya telah tiba masanya untuk memperkukuhkan industri pengeluaran makanan dengan memanfaatkan teknologi yang kita ada bagi menjana pertumbuhan sektor pertanian secara pintar,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi sambil memuji sokongan MIDA, MDEC dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) pada penganjuran persidangan tersebut.
Di samping itu, Kon Yeow turut memuji inisiatif Putarajaya melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (NCP 2.0) dengan menyasarkan industri makanan dan pertanian kian berdaya saing, mampan serta mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau, dasar Persekutuan itu adalah selari dengan usaha di negeri ini untuk menggandakan kadar pengeluaran dalam tiga sub-sektor berkaitan iaitu pertanian, penternakan dan perikanan.
Sehubungan itu, Kon Yeow berharap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IP, Dato’ Loo Lee Lian selaku Pengerusi Majlis Industri Makanan dan Teknologi Pertanian Pulau Pinang dapat saling bekerjasama dengan beberapa penggerak industri yang menganggotai ‘majlis’ baharu tersebut kelak.
Mereka, antaranya Federal Oat Mills, Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Ghee Hiang, Syarikat Kilang Rempa Jaya Sakti, Tropical Consolidated, Enza Zaden, Golden Fresh, Produk Makanan Enak Gembira dan ViTrox Agritech.
Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa dengan bank tanah sedia ada untuk tujuan pertanian di negeri ini, sebenarnya ia masih mampu menarik pelaburan berkaitan.
“Pertanian pintar ini sebenarnya tidak memerlukan (bank tanah) berskala besar, kalau berminat, boleh tanam sayur dalam rumah.
“Sekiranya ramai menceburi bidang penanaman dalam rumah atau (bangunan) pejabat, ianya sekali gus boleh meningkatkan keterjaminan makanan kita,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Sementara itu, Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol memberitahu bahawa pihaknya akan mempergiatkan kerjasama antara agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta bagi mempercepat amalan pintar dalam sektor pertanian serta industri makanan negeri.
“Kerajaan Negeri ambil pendekatan kerjasama dengan pihak swasta untuk menjana pelaburan dalam teknologi pertanian pintar dan industri makanan,” responsnya yang juga ADUN Pantai Jerejak.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut menjelaskan bahawa pihaknya pada tahun lepas lagi telah memohon peruntukan berwajib daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi membangunkan sistem data raya untuk sektor pertanian negeri.
“Saya yakin pada tahun ini (2024) kita (Pulau Pinang) akan dapat belanjawan tersebut… akan dilaksanakan dalam tahun ini,” ulasnya lanjut sambil memberitahu bahawa sistem data raya pertanian negeri itu akan melibatkan kerjasama dengan Jabatan Perangkaaan Malaysia (DOSM).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD