Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berharap agenda memartabatkan Islam serta program dakwah yang kian subur di Pulau Pinang sejak tahun 2008 mampu membantu Putrajaya mengukuhkan toleransi agama di negara ini.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Program Dakwah Negara dan Bulan-Bulan Al-Quran Peringkat Negeri 2014, yang dianjurkan secara bersama oleh Kerajaan Negeri dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
“Semoga amar makruf seumpama ini dapat diteruskan,” ujarnya pada program tahunan negeri di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.
Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas merasmikan majlis pelancaran tersebut, yang disertai lebih 1,000 hadirin itu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim selaku pengerusi jawatankuasa penganjur program turut membahaskan tema program tahunan kali ini, iaitu ‘Al-Quran Mengukuhkan Ukhwah, Memartabatkan Ummah’.
Turut berucap, Yang di-Pertua YADIM, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Abdul Rahman dalam ucapannya, menyeru umat Islam supaya mengukuhkan perpaduan melalui penghayatan dakwah sebagaimana dituntut dalam al-Quran sendiri.
Mengulas mengenai tema katanya lagi, toleransi sesama ummat mampu mengukuhkan perpaduan ummah.
“Umat Islam perlu kembali menghayati al-Quran dan hidup sebagai satu ummah,” ujar Abdul Rahman.
Selebriti dakwah rancangan ‘Reset Minda’ terbitan Astro Oasis, Prof. Dr. Muhaya Mohammad turut menyampaikan motivasi dakwah sebelum majlis sepagi bersurai.
Difahamkan, Kerajaan Negeri meraikan Bulan-Bulan Al-Quran tiap-tiap tahun sejak 2010, dan digabungkan bersama-sama Program Dakwah Negara sebagaimana disyor oleh Putrajaya pada tahun ini.
Program ‘Ibrah Al-Quran, Kelas Tahsin Al-Quran, Celik Al-Quran & Mini Tahfiz, Multaqa’ Tolabah Al-Quran, Talaqqi & Hafazan Al-Quran, Bacaan Kitab, Seminar Al-Quran dan Kelas Bahasa Arab Bahasa Al-Quran dianjurkan secara berkala di Masjid Negeri dan beberapa masjid terpilih serta Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) sepanjang bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan ini, bermula pada 1 Mei lepas.
Info lanjut, hubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) di talian 04 – 263 7200 atau faksimili 04 – 250 2810 atau emel, mariah@penang.gov.my atau muhamadsayuti@penang.gov.my.