Kukuhkan tali persaudaraan Islam – Exco

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BERTAM – Seramai 1,850 peserta daripada 41 kontinjen menyertai perarakan Maulidur Rasul dari Taman Vision ke perkarangan Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Seberang Perai Utara di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dalam ucapannya menasihatkan seluruh umat di negeri ini supaya mengukuhkan tali persaudaraan Islam serta tidak melayan dakyah politik pihak berkaitan.

“Bukan sahaja perarakan sejauh satu kilometer dianjurkan pada pagi ini, malah Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang mengisi program sambutan Maulidur Rasul dengan solat (sunat) Dhuha berjemaah,” ujarnya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 1436H/2015M di sini baru-baru ini.

Tema sambutan tahun ini adalah “Qudwah Al-Rasul Sirat Ahli Al-Sunnah Wa Al-Jamaah”.

Pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1426 Hijrah kepada “Cikgu Azmi” atau nama sebenarnya Mohd. Azmi Abdul Hamid, 57.

Mohd. Rashid turut menyampaikan Anugerah Kategori Inovasi kepada penerima, Md. Fauzi Osman, Abdul Rhaffor Mahmod (Anugerah Kategori Kemasyarakatan) dan Dr. Mazzan Md. Issa @ Mat Desa (Anugerah Kategori ‘Shabab’ atau Pemuda).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Se ri Farizan Darus, Dato’ Maktar Shapee (Timbalan Yang di – Pertua Dewan Undangan Negeri, DUN Pulau Pinang) serta Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis keraian berkenaan.

Manakala, selebriti dakwah terkenal, Dr. Zahazan Mohamed menyampaikan tazkirah khas sejurus selepas acara marhaban dan
berjanji.

Mohd. Azmi yang ditemui kemudian berharap anugerah yang diberikan kepadanya mampu menyemarak lagi semangat keagamaan dalam kalangan muda-mudi di negeri ini.

Difahamkan, Mohd. Azmi dipilih menyertai anugerah utama pada kali ini, antaranya, atas rekod penyertaan beliau dalam misi kemanusiaan ke Palestin, Syria, Filipina dan Myanmar selain peranannya dalam seminar peringkat antarabangsa.

“Antara pengalaman berharga yang saya peroleh adalah di Gaza bila peluru dan bom meletup di mana-mana sahaja ketika menjalankan misi kemanusiaan.

“Selain itu, saya pernah berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di mana ketika itu saya dapat rasakan betapa kecilnya suara negara kita ini, namunberpuas hati dapat mengemukakan idea pendapat perspektif Islam kepada perwakilan dunia,” ulas beliau.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);