BUAT julung kalinya Jepun bakal menjadi tuan rumah bagi Piala Dunia SpoGomi pada November 2023 dengan pasukan dari seluruh pelosok dunia menjelajah bandar raya Tokyo untuk mengutip sampah
Menariknya, pasukan ‘GOMI Heroes’ dari Pulau Pinang bakal mewakili Malaysia untuk bersaing dengan 20 pasukan antarabangsa lain bagi merebut gelaran juara dunia bagi 2023.
Mereka terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Onn Butterworth iaitu G. MONESSH, 17; MUHAMAD NAUWFAL ABDULLAH, 16, dan juga guru pengiring CHUNG BOON JIN, 41.
Justeru, baru-baru ini wartawan Buletin Mutiara NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar, M. VEKENESVARAN berkesempatan menemu bual ‘GOMI Heroes’ yang merupakan johan dalam acara serupa menentang 27 pasukan dari semua negeri di Malaysia.
Latar belakang
Menurut Boon Jin, SpoGomi merupakan acara sukan peringkat dunia yang diinspirasikan dari Jepun dan ia merupakan gabungan antara sukan (sport) serta sampah (gomi) dalam bahasa Jepun.
“SpoGomi merupakan sukan yang sangat popular melibatkan sebuah kumpulan yang terdiri daripada tiga hingga lima orang untuk bergotong-royong atau mengutip sampah paling banyak dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Di samping itu, setiap pasukan diperuntukkan tempoh selama 60 minit untuk mengumpul sampah paling banyak mengikut kategori dari kawasan yang telah ditetapkan.
“Mungkin pada mata kasar ia kelihatan agak mudah untuk dilakukan, sebaliknya SpoGomi memerlukan kepantasan, kemahiran dan stamina serta strategi bagi membolehkan sesebuah pasukan mengumpul dan menyusun lebih dari 17 kilogram (kg) sisa hanya dalam masa satu jam,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini di Butterworth.
‘GOMI Heroes’
Pasukan ‘GOMI Heroes’ menyertai acara Piala Dunia SpoGomi edisi Malaysia pada 19 ogos 2023 yang mana acara dijalankan di Dataran Pantai Queensbay Mall.
“Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang atau GREW merupakan antara pihak yang memberi pendedahan mengenai pembangunan lestari dalam kalangan pelajar.
“Guru pengiring saya, iaitu Cikgu Boon Jin merupakan salah seorang ahli GREW dan dari dia juga ‘GOMI Heroes’ ini terbentuk.
“Selain pembangunan lestari, GREW juga memfokuskan aspek pendidikan dan kemampanan sesebuah institusi.
“Kini semua ahli ‘GOMI Heroes’ terdiri daripada lebih 70 orang dan semuanya adalah pelajar,” jelas Monessh yang sering terlibat dengan aktiviti kesukarelawan membersihkan kawasan pantai terutamanya.
Persediaan Piala Dunia SpoGomi di Jepun
Menjawab soalan pemberita mengenai persediaan, Muhamad Nauwfal sempat berkongsi rasa berdebar dek pertama kali bakal bertanding ke negara luar bersama-sama pasukan yang lebih handal.
“Pasukan kami masih lagi melakukan persediaan yang rapi untuk menghadapi pertandingan Piala Dunia SpoGomi 2023 yang akan datang di Jepun dengan penuh keyakinan.
“Sejujurnya, kami belum lagi menyesuaikan diri dengan cara SpoGomi di Jepun, oleh itu kami perlu membuat lebih banyak kajian dan analisis serta memerhati dengan lebih khusus.
“Mengumpul dan mengasingkan sisa bukan perkara yang menyeronokkan, akan tetapi orang Jepun mengubahnya menjadi sebuah acara sukan dan bagi saya ia merupakan idea yang baik dan harus diaplikasikan oleh semua pihak.
“Tambahan pula, pengasingan sisa di Jepun amat berbeza dengan cara kita melakukannya di Malaysia dek kami hanya perlu mengasingkan kertas, plastik dan logam.
“Tetapi di Jepun, sisa diasingkan kepada sisa mudah terbakar dan tidak mudah terbakar,” tambah Muhamad Nauwfal yang mahu membawa kejayaan yang membanggakan kepada negara.
Harapan
Mengakhiri sesi wawancara, pasukan ‘GOMI Heroes’ turut memuji idea menjadikan gotong-royong tempatan sebagai acara sukan peringkat dunia dan wajar diperluaskan lagi.
“Pada pendapat saya, kebanyakan orang awam akan menyedari bahawa tanggungjawab mereka adalah untuk menjaga serta memelihara kebersihan alam sekitar.
“Banyak kawasan yang tercemar juga adalah disebabkan oleh kita juga, jika bukan kita yang mula membersihkan siapa lagi yang akan melakukannya, jadi kita perlu jalankan tanggungjawab membersih sisa sampah seikhlas hati,” kata Boon Hin yang turut menggalakkan orang ramai menjaga kebersihan tempat awam.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : M. VEKENESVARAN