Kumpulan Maybank mahu teroka peluang kerjasama baharu dengan Kerajaan Negeri

Admin
whatsapp image 2024 05 31 at 10.13.17

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada delegasi Malayan Banking Berhad (Maybank) di pejabat beliau di Komtar, pagi ini.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli hadir dengan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global, Datuk John Chong Eng Chuan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS), Syed Ahmad Taufik Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Islam dan Maybank Islamic, Datuk Muzaffar Hisham.

Turut sama, Pengarah Kanan (Liputan Pelanggan), Ahmad Faizal Ahmad Zazli; Pengarah Wilayah, Mohammad Yusof Abdul Rahim dan Pengurus Cawangan (Jalan Penang), Muhammad Asri Alhafizi Kamaruddin.

Selain membincangkan mengenai peluang kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kumpulan Maybank dalam pelbagai sektor strategik seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelancongan, infrastruktur dan industri halal turut dibangkitkan adalah berhubung penganjuran Invest ASEAN Penang 2024 Conference yang bakal diadakan pada 10 Jun 2024.

Kon Yeow dijadualkan menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa yang turut membabitkan negara-negara Asia Tenggara itu.

Kumpulan Maybank juga, dalam pada itu menyatakan hasrat untuk meneroka peluang usahasama baharu melalui sektor perumahan, agenda kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta agenda hijau di bawah Visi Penang2030 yang diilhamkan oleh Kon Yeow.

Sebagai rekod, Maybank mempunyai 353 cawangan seluruh negara dan 38 cawangan di Pulau Pinang dengan jumlah kakitangan seramai 1,102 orang.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR