Kumpulan pertama penjawat awam terima pakej sewa beli PHOME

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 90 orang penjawat awam di menjadi kumpulan pertama menerima Pakej Sewa Beli Penjawat Awam (PHOME) bagi memiliki rumah kos rendah (LC) di negeri ini.

Menurut Exco ‘Caretaker’ Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, pakej tersebut adalah sebagai penghargaan Kerajaan Negeri kepada penjawat awam sambil membantu mereka memiliki rumah.

 

“Kerajaan Negeri sememangnya meletakkan penjawat awam sebagai keutamaan untuk memiliki rumah melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) selain daripada keluarga yang terlibat dengan pemindahan, orang kurang Upaya (OKU) dan sebagainya.

 

“Sejak tahun 2013, seramai 8,000 orang penjawat awam telah ditawarkan untuk mendapatkan pelbagai jenis Rumah Mampu Milik (RMM) yang disediakan di negeri ini.

 

“Komitmen kita (Kerajaan Negeri) kepada penjawat awam ini jelas kerana kita tahu di antara mereka yang bekerja di lapangan adalah terdiri daripada ‘wira-wira kuning, hijau, oren dan lain-lain’ yang mana setiap hari bertungkus-lumus termasuk kakitangan LPNPP (di lapangan) sendiri,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan penyerahan surat tawaran kepada penerima PHOME dekat sini pagi tadi.

 

Turut hadir, Pengurus Besar LPNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar; Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff dan Pegawai Penguatkuasa LPNPP, Nadzifah Abd. Rahim.

 

Tambah Jagdeep, melalui PHOME penerima tidak perlu membayar sebarang faedah pinjaman yang dikenakan dan skim tersebut akan terus diperluaskan.

 

Sementara itu, penerima, MUHAMMAD ROSLIZAN MD. RODZI, 30, menzahirkan rasa syukur kerana penantian yang sudah begitu lama akhirnya terjawab.

 

“Saya sudah mohon rumah sudah lama, akhirnya rezeki dapat rumah melalui skim PHOME (tanpa faedah) di Taman Mekarsari,” jelasnya yang bertugas di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

 


Penerima kedua, NOR HAMIZAN MOHAMD, 40, senada dengan Roslizan apabila mendapat mengetahui bahawa namanya terpilih sebagai penerima PHOME.

 

“Walaupun sebelum ini pernah menolak tawaran pemilikan rumah daripada Kerajaan Negeri, saya bersyukur masih terpilih untuk PHOME, skim ini sangat bermakna terutamanya penjawat awam macam kami ini,” maklum Pembantu Awam di MBSP itu lagi.

 

Sementara itu kakitangan Zakat Pulau Pinang (ZPP), NOR HIDAYAH SAAD, 32, merakamkan ucapan terima kasih kepada LPNPP kerana memperkenalkan PHOME.

 

“Saya sudah berumah tangga sudah pastinya menginginkan kediaman sendiri, melalui PHOME hasrat saya akhirnya tercapai, syukur alhamdulillah,” katanya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: LAW SUUN TING