Kumpulan ‘terbaik’ terima penghargaan

Gambar oleh : IZUDDIN MOHAMED ISMAIL

BAYAN BARU – Seramai 285 kakitangan awam dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima pengiktirafan di atas prestasi cemerlang yang ditunjukkan dalam perkhidmatan masing-masing bagi tahun 2012 di sini baru-baru ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus yang hadir menyampaikan anugerah berprestij tersebut menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut diberikan kepada kakitangan yang memperoleh markah 90 peratus ke atas di dalam penilaian prestasi 2012.

Katanya, sebagai kumpulan ‘terbaik’, beliau yakin bahawa golongan berkenaan mampu membuat perubahan seperti berbincang serta merancang proses-proses kerja yang lebih baik asalkan ia tidak melanggari peraturan atau pekeliling-pekeliling  ditetapkan.

“Saya harap kumpulan ini dapat jadi pemangkin kepada rakan seperjawat untuk turut capai kecemerlangan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi mewujudkan perkhidmatan awam bertaraf antarabangsa,” ucapnya pada Majlis Penghargaan Prestasi 2012 di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)/Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Abu Jamal Nordin dan ketua-ketua jabatan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan empat prinsip kerja dalam kalangan penjawat awam.

“Prinsip-prinsip kerja yang ditekankan adalah ketepatan masa, ketepatan fakta, ketelitian dan disiplin yang tinggi.

“Saya mempunyai harapan amat tinggi untuk memastikan prestasi dicapai pada tahun lalu dapat dipertingkatkan,” tegas Farizan.