Kunjungan hormat bincang dua opsyen PPD Timur Laut

KETUA Menteri (kanan) dan Mohamad Zawawi Ahmad saling berbincang mengenai dua opsyen bagi bangunan pentadbiran utama Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut di sini pada 25 April 2023.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya pada bulan Januari lepas telah menawarkan sebidang tanah seluas kira-kira tiga ekar bersebelahan Masjid Masjid Al Bukhary Bandar Baru Sungai Pinang sebagai tapak bagi Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut (PPDTL) yang baharu.

Opsyen yang kedua, menurut Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) juga boleh mempertimbangkan cadangan pembinaan bangunan tambahan baharu di samping kerja-kerja pemuliharaan bangunan warisan Katergori 2 sedia ada dekat bersebelahan Sekolah Kebangsaan Perempuan Island di sini untuk pengurusan pentadbiran utama PPDTL pada masa hadapan.

Kon Yeow berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut, Mohamad Zawawi Ahmad dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pengurusan Sekolah), Sunny Seowfuddin Abdullah di pejabatnya di sini pada 25 April 2023.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa pihaknya senantiasa menyambut baik sebarang cadangan daripada pihak PPDTL sama ada memilih opsyen pertama mahupun kedua.

Selain membincangkan isu bangunan pentadbiran utama Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut yang agak usang, Mohamad Zawawi dan Sunny Soewfuddin dalam kunjungan hormat tersebut turut menjemput Ketua Menteri untuk merasmikan sebuah majlis yang bakal berlangsung pada Jun ini.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa kunjungan hormat tersebut adalah susulan daripada Mohamad Zawawi yang baru dilantik serta lapor diri sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN