Kunjungan hormat, pimpinan MUDA Pulau Pinang bawa tiga isu akar umbi

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada pimpinan Parti Ikatan Demokratik Malaysia atau Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) Pulau Pinang di sini.

 

Delegasi yang diketuai oleh Pengerusi MUDA Pulau Pinang, B. Tineshvaar turut disertai oleh Setiausaha, Andika Putera Md. Isa serta ahli-ahli jawatankuasa MUDA Pulau Pinang.

 

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

 

Pada pertemuan selama 45 minit tersebut, pimpinan MUDA Pulau Pinang menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kon Yeow kerana kesudian meluangkan masa untuk bertemu buat julung kalinya dengan pimpinan negeri parti berkenaan.

 

Selain itu, tiga isu turut dibangkitkan dan dibincangkan antaranya mengenai pengoperasian pejabat agensi kerajaan yang berpusat di sesuatu lokaliti yang agak jauh dari penempatan penduduk; permasalahan bekalan air di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) dan Projek Penang South Islands (PSI) di selatan Pulau Pinang.

 

Sementara itu, Kon Yeow sebagai respons turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan terima kasih kepada pimpinan MUDA Pulau Pinang kerana membawa tiga isu pada peringkat akar umbi itu.

 

Menurut beliau, Kerajaan Negeri mempunyai pelbagai perancangan pembangunan melalui dasar-dasar strategik demi memastikan pertumbuhan masa depan yang lebih kondusif dan mampan.

 

Ini termasuk dalam menangani isu bekalan air yang mana Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) mengambil pelbagai inisiatif termasuk melaksanakan pelan kontigensi bagi memenuhi permintaan air yang semakin bertambah di kawasan SPS terutamanya.

 

Selain itu, tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri juga akan saling bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan beberapa inisiatif pada peringkat Persekutuan di negeri ini.

 

Usai pertemuan, pimpinan MUDA Pulau Pinang menyampaikan hasrat untuk mengadakan sesi dialog bersama Kon Yeow dan pimpinan negeri lain dalam mengeratkan kerjasama demi kepentingan rakyat negeri ini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN