Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Industri halal negeri melakar perkembangan positif apabila Penang International Halal Hub (Halal Penang) menerima kunjungan delegasi 20 anggota perdagangan dan kerajaan Maghribi di sini baru-baru ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim ketika ditemui berkata, delegasi diketuai Pengarah Bahagian Polisi Perdagangan, Kementerian Perdagangan Luar Negeri Maghribi, Mohammed Essabar yang menghadiri Malaysia Halal Week 2014 memilih Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi lawatan selain Kuala Lumpur dan Melaka.
“Hal ini jelas menunjukkan inisiatif perangkaian perkhidmatan dan pengeluaran produk halal tempatan berkembang pesat selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai hab halal bertaraf antarabangsa.
“Kehadiran delegasi dari Maghribi juga dilihat dapat menerokai peluang dan kepakaran serta memperkukuhkan hubungan industri halal yang lebih kompetatif,” katanya di sini baru-baru ini.
Jelas beliau, kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang (melalui Halal Penang) dengan Maghribi telah terjalin sejak tahun 2013 lagi apabila beliau dijemput untuk menyampaikan ucapan pembukaan di Ekspo Halal Antarabangsa Edisi Ke-2 di Meknes, Maghribi tahun lalu.
Malah, jalinan kerjasama diperkukuhkan apabila beliau berkesempatan bertemu dengan Menteri Perhubungan Parlimen dan Kemasyarakatan Maghribi, H.E. Habib Choubani serta menandatangani dua perjanjian persefahaman (MoU) bersama Association of Moroccon Exporters (ASMEX) dan Central Regional of Investment, Meknes – Tafilalet (CRI).
Selain hadir ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri di Komtar, delegasi turut melawat Centre of Herbal Standardization (CHEST) di Universiti Sains Malaysia (USM) dan kilang pembekal makanan laut sejuk beku, Jeenhuat Foodtuffs Industries Sdn. Bhd. (JEFI) di Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang, Bukit Minyak.
Delegasi Maghribi turut disertai wakil ASMEX, Moroccon Halal Certification Body (IMANOR), Canning Industry Federation of Agricultural Products of Morocco (FICOPAM), Department of Standard and Quality Management System (ONSSA) serta beberapa anggota dewan perniagaan dan penggiat industri pemakanan halal di Maghribi.