GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk membuka kuota pelantikan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kepada wakil daripada parti pembangkang.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata demikian sebagai respon kepada soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2023.
“Kuota Ahli Majlis hanya diberikan kepada komponen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional yang telah membentuk kerajaan di negeri Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) baru-baru ini.
“Manakala bagi kuota Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pulau Pinang tahun 2023/2024 mengikut komponen parti seperti Democratic Action Party (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Di samping itu, kuota Ahli Majlis untuk badan bukan kerajaan (NGO) juga diberikan kepada kedua-dua PBT yang memainkan peranan penting sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap urusan di PBT sama ada di peringkat pengurusan, perancangan dan pelaksanaan,” ulasnya lanjut.
Difahamkan, pelantikan Anggota Majlis adalah merupakan kuasa prerogatif Pihak Berkuasa Negeri (PBN) seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 10(1) Akta Kerajaan Tempatan [Akta 171] yang berperanan dalam membentuk dasar dan perundangan PBT sebagai Penggubal Dasar Majlis, Pendokong Dasar Majlis dan Penyemak Pelaksanaan Dasar mengikut profesion dan kepakaran masing-masing.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT