GEORGE TOWN – Kegigihan beberapa agensi kerajaan memudahkan proses permohonan untuk mewujudkan aktiviti penternakan ikan dalam sangkar sejak tahun 2008 di Pulau Pinang, kini membawa hasil kasar mencecah RM1.2 bilion setahun.
Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyeru semua penjawat awam supaya terus meningkatkan mutu pelanggan, yang nyata turut menyumbang kepada penjanaan ekonomi rakyat.
“(Sebelum tahun) 2008, Pulau Pinang tak ada satupun sangkar ikan di atas laut, sekarang kita ada lebih 300 (sangkar ikan atas laut), dengan (hasil kasar) RM1 bilion hingga RM1.2 bilion.
“Kita (Kerajaan Negeri) tidak membuat sebarang pelaburan (dalam industri sangkar ikan).
“Tetapi, kita (Kerajaan Negeri) boleh lihat, sekiranya kita kurangkan birokrasi dan tingkatkan keberkesanan (mutu pelanggan), hasil yang diterima oleh negeri dan rakyat adalah lebih besar.
“Sampai (pelanggan) dari Perak pun datang kerana proses permohonan yang begitu mudah, terus tiga bulan boleh dapat jawapan (permohonan), tak payah melalui orang tengah,” katanya pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam di sini baru-baru ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus turut berucap pada majlis rasmi itu.
Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri serta Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Pulau Pinang.
Tegas Guan Eng, impian menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa sebenarnya bergantung kepada mutu perkhidmatan para penjawat awam.
“Kalau kita mahu Pulau Pinang dilihat menjalankan transformasi sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa, ini hanya dapat berjaya dilaksanakan sekiranya warga perkhidmatan awam juga bertaraf antarabangsa,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.
Selain itu, Guan Eng menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri mencatatkan lebihan belanjawan sungguhpun tidak mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk perkhidmatan – perkhidmatan yang ditawarkan untuk rakyat, sebagaimana diamalkan Kerajaan Pusat sampai sekarang.
“Lebihan belanjawan (surplas) terkumpul sepanjang tujuh tahun dari 2008 hingga 2014 adalah sebanyak RM507.12 juta, (iaitu) jauh melebihi lebihan belanjawan 50 tahun sebelum ini (1957 hingga 2007) semasa Kerajaan Negeri di bawah Barisan Nasional (BN),” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.
Tambah beliau, perincian lebihan belanjawan yang dicatatkan oleh Kerajaan Negeri bagi tahun 2008 adalah berjumlah RM87.99 juta, diikuti RM77.34 juta (2009), RM33.54 juta (2010), RM138.31 juta (2011), RM114.47 juta (2012), RM1.3 juta (2013) dan RM54.17 juta (2014).
Sebelum itu, Farizan menggesa ketua-ketua jabatan supaya bertindak lebih tegas ke atas penjawat awam yang melakukan kesalahan berat, termasuk digantung tugas hatta dibuang kerja.
Beliau memberitahu, seramai 53 kakitangan dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tahun lalu atas pelbagai kesalahan, termasuk yang terjebak dengan najis dadah.
“Seramai 13 daripada mereka adalah di bawah Jabatan Negeri dan baki seramai 40 adalah di (bawah) pihak berkuasa tempatan (PBT),” jelas Farizan.
Katanya, 34 daripada 54 penjawat awan berkenaan telahpun dibuang kerja, manakala baki lain dikenakan pelbagai hukuman termasuk turun gaji serta menangguhkan kenaikan gaji.