BUKIT TAMBUN – Jumlah sampah yang dijana sekitar kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) setiap hari dan terpaksa dihantar ke Pusat Pelupusan Sampah Pulau Burung adalah kira-kira 2,000 tan matrik.
Mengulas lanjut, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, pentadbirannya tiap-tiap bulan terpaksa membelanjakan maksimum kira-kira RM1.3 juta untuk kerja-kerja pengurusan berkaitan lambakan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah tersebut.
Sehubungan itu, beliau berkata, MBSP dapat menjimatkan perbelanjaan berwajib tersebut sekiranya semua pihak berusaha mengurangkan penjanaan sampah serta mengamalkan dasar pengasingan sisa di punca dekat premis masing-masing.
“Pada peringkat MBSP, kita sangat mengharapkan amalan pengasingan sisa di punca dan amalan kitar semula yang dilaksanakan oleh penduduk… (yang mana) dapat mengurangkan penjanaan sampah harian dan menjimatkan sumber perbelanjaan majlis (PBT),” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula dekat Balai Raya Bukit Tambun di sini pada 8 Disember 2024.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan atas kesudian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik menyampaikan ucapan serta menyempurnakan acara perasmian pusat kitar semula, di sini.
Berucap selepas itu, Choon Aik menasihatkan penduduk tempatan supaya membuang plastik, kertas dan kaca secara betul mengikut tong yang disediakan bagi memudahkan ‘Wira Oren’ MBSP melakukan kerja-kerja pengumpulan di pusat sumber kitar semula di sini kelak.
Hadir sama, dua Ahli Majlis MBSP, Dato’ Mohd. Noor Ahmad dan Darwin Lim Chee Chien; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bagan Bukit Tambun, Esther Oh; serta Muhamad Zam Zam Abdullah (wakil Perpustakaan Daerah Seberang Perai Selatan, SPS).
Dalam perkembangan berkaitan, Baderul Amin dan Choon Aik turut menyampaikan hadiah berupa hamper kepada para pemenang pertandingan mewarna kanak-kanak yang dianjurkan serentak dengan majlis perasmian pusat sumber kitar semula di sini pada petang tadi.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB