Kurang jana sampah harian walaupun penduduk Seberang Perai kian meningkat, kata Datuk Bandar

Admin
f4031dbe 2566 4314 9042 4c66520e7cd0 K. Kumaran (tengah, kiri) dan Datuk Bandar MBSP (tengah, kiri) bersama-sama barisan pemimpin lokal lain semasa acara gimik perasmian Pusat Kitar Semula Pasar Awam Sri Bandar di sini pada 14 Disember 2024.

BAGAN DALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran meluangkan masa menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula Pasar Awam Sri Bandar anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini pada 14 Disember 2024.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid semasa berucap berkata, pihaknya menyedari bahawa jumlah penjanaan sampah harian yang dihantar ke Pusat Pelupusan Sampah Pulau Burung kian meningkat sebanyak 2,000 tan metrik, dengan mengambil kira bilangan penduduk di ketiga-tiga daerah Seberang Perai kian meningkat.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak berkepentingan membantu MBSP meningkatkan kesedaran segenap lapisan masyarakat mengenai kepentingan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, kitar semula dan amalan mengkompos sisa makanan demi mengurangkan penjanaan sampah-sarap di bahagian Seberang Perai.

“Kitar semula merupakan satu konsep penjagaan, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Memandangkan jumlah sampah harian manusia semakin bertambah tahun demi tahun selari dengan pertambahan populasi, maka amalan kitar semula dilihat satu alternatif yang bagus untuk melambatkan penggunaan sumber-sumber semula jadi yang terdapat di sekeliling kita.

“Untuk memastikan keberkesanan program kitar semula, MBSP menjalin kerjasama strategik dengan universiti, sekolah, NGO dan persatuan penduduk,” katanya dalam majlis berkaitan.

Terdahulu, Baderul Amin memberitahu bahawa MBSP ketika ini terpaksa membelanjakan maksimum kira-kira RM1.3 juta tiap-tiap bulan untuk kerja-kerja pengurusan berkaitan lambakan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah tersebut.

Beliau berkata dengan mengurangkan penjanaan sampah oleh semua pihak berkepentingan bukan sahaja akan membolehkan MBSP berbelanja dengan lebih hemah, malah sekali gus dapat memanjangkan hayat Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MBSP