Kurangkan sisa dapur, MBSP sasar capai kadar kitar semula 70 peratus

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berjaya mencapai kadar kitar semula 51.64 peratus pada tahun lepas (2019) berbanding 47.15 peratus pada tahun sebelumnya (2018).

Datuk Bandarnya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, jumlah itu menghampiri sasaran ditetapkan MBSP iaitu untuk mencapai 70 peratus kadar kitar semula menjelang tahun 2022.

“Hal ini bermakna kita perlu meningkatkan kadar kitar semula sebanyak 18 peratus lagi dalam tempoh masa tiga tahun.

“Justeru, strategi kita (MBSP) pada tahun 2020 adalah dengan menumpukan kepada usaha mengurangkan sisa dapur daripada dibawa ke tapak pelupusan sampah,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara selepas majlis perhimpunan korporat dekat Menara Bandaraya, di sini pagi ini.

Turut serta, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod serta barisan kakitangan MBSP.

Mengulas lanjut, Rozali menegaskan bahawa pihaknya juga sedang merangka strategi baru dengan mengadakan ‘polluter-pays policy’ kepada pengilang-pengilang di Seberang Perai.

“Berdasarkan pemerhatian kita, banyak sampah domestik yang dihasilkan dari kilang-kilang didapati masih boleh dikitar semula.

“Oleh itu, sekiranya mereka (pengilang) tidak mengitar semua kita akan meminta supaya mereka membayar apabila sampah-sampah berkenaan dibawa masuk ke tapak pelupusan,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD