‘PERANG kurma’ adalah situasi biasa yang akan muncul bersama dengan kehadiran bulan Ramadan setiap tahun.
Perdebatan mengenai kurma mana yang paling sedap acap kali dibualkan oleh umat Islam yang menyambut kehadiran bulan suci tersebut.
Wartawan pelatih Buletin Mutiara, NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY dan jurugambar AHMAD ADIL MUHAMAD sempat bertemu dua pengusaha kurma untuk mengetahui jenis kurma yang sering menambat hati pembeli.
Di premis Arab Street, pemiliknya, MOHAMED FARID AMEER TAJUDIN menyatakan bahawa kurma jenis Ajwa menjadi tarikan kebanyakan pembeli.
“Kedua adalah kurma jenis Medjoul yang berasal dari Palestin dan yang ketiga adalah Mabroom.
“Ajwa teksturnya lebih lembut dan manis, berasal dari Madinah dan difahamkan penghasilan kurma ini agak terhad selain dikatakan sebagai sunah Nabi Muhammad S.A.W,” ujarnya.
Selain kurma, Arab Street turut menyajikan pelbagai juadah Timur Tengah seperti syawarma, nasi Arab, kepelbagaian kekacang, minyak wangi dan lain-lain.
Premis kedua sempat dikunjungi adalah Mohamed Meera Sahib (M) Sdn. Bhd dekat Penang Street.
Pemiliknya, DATUK MOHAMED MEERA MOHAMED NOORDEEN berkata, kebanyakan pelanggannya lebih menggemari kurma Tunisia dan kurma madu Iran.
“Itu dua jenama kurma yang paling laku di sini, selain itu ada juga kurma lain macam Ajwa, Safawi, Mabroom dan pelbagai lagi.
“Harga yang kami tawarkan bermula daripada RM10 sehingga RM80 satu kilogram.
“Premis Meera Sahib juga tidak ketinggala menyediakan rempah ratus asli sejak dari tahun 1954 lagi,” katanya.