Kursus asuhan PWDC perkasa wanita

Admin

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

KEPALA BATASBerasaskan inisiatif untuk meningkatkan sumber pendapatan di samping memperkasakan golongan wanita terutama mereka yang berpendapatan rendah dan tidak terlibat dalam bidang pekerjaan, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) baru-baru ini telah melaksanakan Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak – Taska Di Rumah (KAAK-TR) kali ketiga.

Kursus enam hari tersebut adalah hasil kerjasama Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM). Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng berkata, kadar penyertaan wanita dalam sector pekerjaan di Pulau Pinang adalah 56 peratus, manakala seluruh Malaysia (48 peratus).

“Kadar tersebut adalah amat berbeza berbanding negara jiran seperti Singapura yang mencatatkan jumlah sebanyak 60 peratus dan Thailand (70).

“Salah satu faktor penyebab yang dikenalpasti adalah kekurangan akses kepada jagaan kanakkanak yang berpatutan dan berkualiti,’’ pada Majlis Perasmian KAAK-TR Ke-3 di sini baru-baru ini.

Seramai 35 peserta di SPU menyertai kursus tersebut dengan yuran yang dikenakan hanya berjumlah RM10.

Menurut Eng, satu pertiga daripada populasi negara adalah terdiri daripada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

“Di Seberang Perai Utara (SPU), statistik tahun 2010 menunjukkan terdapat kira-kira 770,000 kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dan 30 peratus daripadanya adalah di bawah usia empat tahun.

“Menurut kajian kami (Kerajaan Negeri), nisbah pusat jagaan kepada populasi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun adalah 1 : 1,352 iaitu 1 pusat jagaan untuk setiap 1,352 orang kanakkanak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus Program PWDC, Karen Lai Yu Lee memberitahu bahawa mekanisma penganjuran program adalah mementingkan lokasi mengikut daerah, malah, yuran yang rendah adalah bagi menggalakkan penyertaan golongan wanita tempatan dalam kursus berkenaan.

“Kita cuba untuk memudahkan akses mereka (golongan wanita) dengan program ini, mengurangkan masalah pengangkutan dan kesukaran hidup yang dihadapi,” kata Yu Lee.

Kursus sama turut diadakan PWDC sebelum ini di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah (SPT) serta Kursus Tatacara Penubuhan Taska di Teluk Kumbar, Barat Daya.