Kutip caj beg plastik, tindakan tegas terhadap premis tidak berdaftar – Exco

PHEE Boon Poh (tiga dari kanan, hadapan) bergambar kenangan bersama barisan panel dialog dan dan para peserta pagi tadi.

GEORGE TOWN – Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan memulakan operasi penguatkusaan terhadap premis-premis perniagaan yang mengenakan caj sebanyak RM0.20 bagi setiap beg plastik.

Menurutnya, operasi tersebut adalah bertujuan untuk membanteras premis-premis yang menjalankan aktiviti berkenaan tanpa berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pengalaman saya sendiri, saya minta beg plastik dan dikenakan bayaran tetapi bila minta surat kuasa, tidak ada.

“Ingin saya ingatkan kepada semua pemilik premis supaya berdaftar dengan pihak PBT dalam kadar segera bagi mengelakkan tindakan penguatkusaan.

“Kita (Kerajaan Negeri) bukan hendak mengemis tetapi terpaksa berbuat demikian kerana cintakan alam ini,” katanya pada sidang media sempena majlis Dialog Ke Arah Pulau Pinang Bebas Plastik Sekali Guna dan Pendekatan Tak Nak Penyedut Minuman Plastik di sini, sebentar tadi.

Pada sesi dialog berkenaan, Boon Poh turut menyeru kepada masyarakat di negeri ini agar berhenti atau mengurangkan penggunaam plastik sekali guna yang dilihat telah memudaratkan alam sekitar.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, saya sudah memaklumkan dalam mesyuarat-mesyuarat bahawa tidak boleh ada cawan air mineral sekali guna, botol air (sekali guna) dan penyedut minuman.

“Pihak media mungkin akan buat pemantaun sama seperti ketika pengharaman penggunaan polisterina dilaksanakan dan ini adalah pendirian Kerajaan Negeri.

“Kurangkan penggunaan plastik sekali guna demi anak cucu kita di masa hadapan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

Hadir sama, Penolong Setiausaha Kanan (Alam Sekitar dan Pembangunan Wilayah) Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, (BPEN) dan Timbalan Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), Josephine Tan.

Seramai 49 wakil pengusaha hotel serta 17 wakil pengusahan pasaraya di bahagian pulau turut hadir pada majlis tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Boon Poh memaklumkan bahawa sebanyak RM1.2 juta berjaya dikutip sejak April 2018 hingga kini hasil daripada penggunaan kira-kira enam juta plastik bagi kawasan pulau.

“Ini tidak termasuk kedai atau premis yang tidak berdaftar dengan PBT seperti di pasar awam, kedai runcit dan lain-lain.

“Jadi cuba anda bayangkan ke mana semua plastik-plastik itu pergi dan ia mengambil masa yang terlalu lama untuk dilupuskan,” maklumnya lagi.

Difahamkan, setiap kutipan hasil beg plastik di negeri ini akan dipulangkan kepada rakyat di bawah program kebajikan Agenda Ekonomi Saksama (AES).

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD