SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan membuat penambahbaikan sistem dan jadual kutipan sampah pukal serta sisa domestik sempena musim perayaan Tahun Baru Cina yang bermula pada 29 Januari ini.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata pentadbirannya akan melaksanakan sistem kutipan sampah berjadual tiga kali seminggu berbanding sekali sahaja pada tahun sebelum ini.
“Pusingan pertama (kerja-kerja kutipan sampah) pada 20 hingga 22 Januari 2025, (disusuli) pusingan kedua pada 23 hingga 25 Januari 2025 dan pusingan ketiga pada 26 hingga 28 Januari 2025,” jelasnya semasa berucap dalam Mesyuarat Penuh Majlis MBSP Kali Ke-607, Bil. 1/2025 di Menara Bandaraya di sini pada 24 Januari 2025.
Menurutnya lagi, kerja-kerja kutipan sampah dari tong komunal, tong roro pasar awam, serta pusat pengumpulan sampah pangsapuri, kondominium dan rumah berstrata yang sebelum ini hanya dijalankan sekali seminggu akan ditingkatkan kekerapan kepada tiga kali seminggu.
“Kutipan akan dibuat sebanyak sehari sekali pada 20 hingga 24 Januari 2025 dan sebanyak dua kali sehari pada 25 hingga 28 Januari 2025.
“Sampah domestik dari tong komunal dan tong roro di pasar awam (turut ditambah baik) dari segi kekerapan kutipan daripada sehari sekali kepada dua kali sehari bagi tong-tong komunal dan tong roro pada 28 Januari 2025.
“Perubahan jadual kutipan ini adalah selaras dengan dasar Majlis untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk Seberang Perai terutamanya pada musim perayaan.
“Sehubungan itu, MBSP menyeru kepada semua pihak di Seberang Perai supaya dapat mengurangkan penjanaan sisa sampah, tidak membazirkan makanan dan mengamalkan kitar semula semasa menyambut perayaan Tahun Baru Cina nanti,” jelasnya lagi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD