Kutipan hasil negeri cecah RM1.6 bilion dalam tempoh tiga tahun

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya mengutip hasil mencecah RM1.6 bilion sejak tahun 2020 sehingga 30 September 2022 walaupun berdepan dengan kelembapan ekonomi dan penularan COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata jumlah itu adalah merangkumi hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil.

“Kutipan hasil di bawah komponen Hasil Cukai telah menunjukkan peningkatan dari tahun 2020 hingga 2022 yang mana cukai tanah merupakan item utama di bawah komponen ini yang telah merekodkan kutipan yang semakin bertambah dari (tahun) 2020.

“Cukai tanah merupakan penyumbang utama kepada amaun hasil cukai yang mana sebanyak RM123.47 juta dikutip dalam tahun 2020, RM121.62 (2021) dan RM140.21 (2022) sehingga 30 September lalu,” katanya semasa sesi Soalan Lisan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

Jawapan tersebut adalah sebagai menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Dato’ Muhamad Yusoff Mohd Noor.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa kutipan duti hiburan pula menjadi penyumbang kedua terbesar kepada hasil cukai manakala hasil cukai parit dan tali air menjadi penyumbang ketiga terbesar.

“Kutipan duti hiburan pada tahun 2020 adalah berjumlah RM5.98 juta, RM0.8 juta bagi tahun 2021 dan RM1.63 juta sehingga 30 September 2022.

“Kutipan duti hiburan terjejas untuk tahun 2021 dan 2022 adalah disebabkan terdapatnya kelulusan pengecualian pembayaran duti hiburan untuk tempoh bermula April 2021 hingga Jun 2022.

“Hasil cukai parit dan tali air pula mencatatkan sebanyak RM0.54 juta pada tahun 2020, RM0.53 juta untuk tahun 2021 dan RM0.56 juta bagi tempoh sehingga 30 September 2022,” katanya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komukasi.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota menyatakan bahawa kutipan di bawah komponen hasil bukan cukai juga meningkat kepada RM474.23 juta bagi tahun 2021 iaitu sebanyak RM220 juta atau bersamaan 86.54 peratus berbanding pada tahun 2020 (RM254.22 juta).

“Penyumbang terbesar kepada lebihan yang ketara untuk tahun 2021 adalah daripada perolehan jualan barang-barang yang merekodkan kutipan RM270.71 juta berbanding RM48.43 juta untuk tahun 2020 manakala bagi tahun 2022 pula berjumlah RM53.71 juta,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS